Arkib Blog

Thursday, August 26, 2010

Kilang arak: Umno melutut pada siapa

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar bagai meludah ke langit, apabila mendakwa PAS takutkan DAP berhubung penutupan kilang arak di Selangor.

Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, Noh yang juga Menteri Pertanian tidak sedar bahawa perkara dibangkitkan tersebut seperti meludah ke muka sendiri.

"Saya nak tanya lah, kalau kilang Carlsberg itu tak tutup sebab PAS takutkan DAP, maka Umno waktu buka kilang tu diorang melutut pada siapa?" soalnya yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Beliau menyoal demikian ketika diminta mengulas kenyataan Noh dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.

Noh dalam wawancara tersebut secara khusus mengaitkan nama Khalid dalam isu penutupan kilang arak tersebut.

Khalid katanya ada berjanji mahu menutup kilang arak jika Pakatan Rakyat memerintah Selangor, namun belum dibuat.

Khalid bagaimanapun menjelaskan Pakatan Rakyat Selangor masih baru dan dalam fasa memberi kefahaman kepada rakyat negeri itu dan tidak boleh bertindak melulu.

Jelasnya, lawatan ke kilang Carlsberg baru-baru ini kerana mahu bertanya sama ada pengusaha kilang tersebut mempunyai perancangan untuk berpindah tapak atau tidak.

"Berbanding Umno, mereka bangga letak kilang Carlsberg di pintu masuk Shah Alam.

"Seperti didedahkan bekas ahli Umno, Saifudin Nasution di parlimen, pemuda Umno ni 'berenang' dalam arak, sebab itu diorang tak peduli," katanya lagi.

Mengulas isu 'berbeza kitab' antara Selangor dan Kelantan yang dibangkitkan Noh, Khalid berkata bukan kitab yang berbeza tetapi suasana.

"Saya rasa Noh Omar tak mengaji Siasah Syar'iyyah, ini bukan masalah kitab berbeza, tetapi suasana dan realiti itu berbeza," katanya.

PAS Selangor, jelasnya sedang berusaha memberi kefahaman berhubung Syariat Islam termasuk kepada bukan Islam negeri itu.

"Bukan orang bukan Islam je menolak Syariat lslam sebab tidak faham, tetapi orang Islam sendiri yang menyokong Umno pun menolak.

"DAP tak halang kita memberi kefahaman Islam tetapi yang banyak halang kita dulu dan sekarang adalah Umno," katanya lagi.

Mengulas kesan kempen 'Selamatkan Selangor' yang dibuat Umno negeri itu, Khalid berkata beliau yakin rakyat Selangor adalah bijak, bermaklumat dan mampu menilai.

"Kita tak nampak akan menjejaskan kedudukan kita dan kita tidak akan halang kerja mereka," katanya.


Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009