PETALING JAYA 18 Ogos - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan tindakan menggunakan isu kain rentang provokatif yang dilakukan oleh pihak tertentu bagi mengheret institusi diraja ke kancah politik kepartian sebagai muslihat dan niat buruk dengan tujuan menimbulkan kemarahan rakyat Johor, terutamanya di kawasan majoriti Melayu di luar bandar.
"Sudah tentu perkara ini tidak menguntungkan KEADILAN atau pun Pakatan Rakyat. Ia sengaja dihantar ke kawasan majoriti orang Melayu, seolah-olah kita memperkenalkan Datuk Chua Jui sebagai Menteri Besar Johor. Ini tidak benar. Apa yang diputuskan oleh parti adalah beliau dilantik untuk membina kekuatan bagi KEADILAN dan Pakatan Rakyat di negeri Johor.
"Tidak pernah menjadi amalan kita dalam KEADILAN mahupun Pakatan Rakyat (untuk melakukan perkara tersebut). Apatah lagi apabila ia melibatkan nama baik Tuanku Sultan Johor. Jadi kita minta pihak polis siasat dengan segera dan teliti," kata Anwar.
Beliau menjelaskan demikian selepas ditemui oleh dua orang pegawai polis dari ibu pejabat polis daerah Batu Pahat yang mengunjunginya di ibu pejabat KEADILAN di Tropicana pagi tadi untuk mengambil keterangannya.
Keterangan tersebut yang dibuat di bawah Seksyen 112 kanun Prosedur Jenayah adalah bagi membantu siasatan berhubung penggunaan imej Sultan Johor pada kain rentang yang kononnya digunakan oleh penganjur bagi satu program ceramah yang di Batu Pahat, Johor bulan lalu.
DSP Che Mahazan Che Aik dan pegawai penyiasat ASP Aziz Abdullah tiba kira-kira pada jam 11.45 pagi dan bersama Anwar serta Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Johor, Datuk Chua Jui Meng, peguam Willian Leong, Latheefa Koya selama hampir satu jam.
Jui Meng berkata tindakan pihak yang cuba mengaitkan KEADILAN adalah satu tindakan yang berniat jahat untuk menyebabkan Sultan Johor murka kepada parti.
"Kita dan para penyokong KEADILAN tidak sebegitu bodoh untuk katakan, yang saya dicalonkan sebagai Menteri Besar Johor. Ini adalah satu muslihat yang gagal. Sebagai seorang peguam yang terlatih dalam bidang undang-undang, saya tahu bahawa orang Cina seperti saya tidak boleh menjadi Menteri Besar. Ini tak masuk akal dan tak logik langsung.
"Matlamat mereka telah gagal, kerana tidak ramai orang yang percaya dengan apa yang ditulis di atas kain rentang itu. Tiada siapa yang untung daripada perbuatan mereka ini. Jadi kami minta pegawai polis siasat dengan segera kejadian ini, dan tangkap mereka yang terlibat dengan komplot ini," kata Jui Meng.
Pada 31 Julai lalu, Anwar dijadualkan untuk berucap di program ceramah di Markaz PAS Kampung Sungai Tongkang, Batu Pahat selepas menghadiri majlis makan malam dan perasmian Pakatan Rakyat Batu Pahat di Restoran Grand Sea View, di Jalan Tanjung Labuh.
Namun, pihak penganjur terpaksa membatalkan ceramah tersebut selepas diserbu oleh pihak polis dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
Tujuh orang termasuk peniaga ditahan di Balai Polis Rengit tetapi mereka dibebaskan dengan jaminan polis keesokan paginya.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment