AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Sunday, August 1, 2010

Bajet Tambahan RM80 Juta Kerana Umno-BN Gagal Urus Tadbir Perak


KUALA KANGSAR 1 Ogos - Pentadbiran pincang Umno-Barisan Nasional di Perak menyebabkan sebanyak RM80 juta dana awam terpaksa dikorbankan sebagai bajet tambahan yang akan diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri 3 Ogos nanti.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Perak, Mustaffa Kamil Ayub berkata Umno-BN tidak mampu menjana serta membangun ekonomi negeri Perak setelah melakukan rampasan kuasa tidak berperlembagaan awal 2009 lalu.

"Sudah sampai masanya untuk kita keluarkan Umno-Barisan Nasional dari negeri Perak ini, pentadbiran mereka bukan membawa kebaikkan malah semakin teruk lagi bila ada usaha untuk kemukakan perbelanjaan tambahan sebanyak RM80 juta pada sesi sidang Dewan Undangan Negeri nanti," dedah beliau semasa berucap pada majlis jamuan makam malam anjuran Cabang Bagan Serai di Dewan Beng Sean Seah, Bagan Serai Jumaat lalu.

Mustaffa menyeru rakyat Perak agar sedar mengenai kepincangan pentadbiran Umno-BN di Perak kerana permintaan belanjawan tambahan menandakan parti itu tidak mampu membawa negeri itu ke arah masa depan yang lebih terjamin dan makmur.

"Apa yang Umno-BN Perak buat sehingga memerlukan penambahan peruntukkan sebanyak RM80 juta? Bila kita tanya mereka hanya menjelaskan peruntukkan tersebut untuk perkhidmatan tanpa memberi penjelasan yang khusus. Bagi saya rakyat perlu sedar daripada sekarang, pentadbiran mereka jelas ada kepincangan dalam soal urusan kewangan negeri.

"Kita tahu sewaktu Pakatan Rakyat memerintah, tidak pernah ada penambahan peruntukan malah mendapat lebih dalam pendapatan negeri tetapi di bawah Umno-BN bukan sahaja pendapatan negeri berkurangan malah meminta peruntukkan tambahan pula. BN tidak tahu mentadbir negeri ini untuk memperkayakan negeri, kita perlu bertindak memperkukuhkan kekuatan parti untuk mengambil balik Perak daripada pentadbiran yang teruk ini.

"Kita bukan sahaja perlu selamatkan Malaysia, kita juga perlu selamatkan Perak daripada pentadbiran bodoh Umno-BN. Umno-BN mensasarkan Malaysia bankrap pada 2019 tetapi Umno-BN Perak meletakkan negeri ini bankrap lebih cepat, silap tadbir sebelum pilihan raya umum ke-13 Perak akan bankrap.

"Kalau kita biarkan ini berlaku maka seluruh generasi dan rakyat negara ini akan terseksa disebabkan oleh sikap Umno-BN yang angkuh dan sombong," tegas beliau.

Beliau mahu seluruh kaum di Perak bersatu dan mengelakkan perselisihan faham antara satu sama lain supaya negeri Perak akan terus makmur dan maju di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat kelak selepas PRU-13

"Pakatan Rakyat adalah parti untuk semua kaum dan saya menyeru setiap kaum di negeri ini menjalinkan kerjasama yang baik, saya mahu wujud persefahaman antara kaum kerana tanpa kerjasama usaha kita untuk merampas serta mentadbir negeri ini dengan baik akan menjadi sukar.

"Kita perlu tengok apa yang berlaku di Selangor yang berada di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat, yang mengutmakan kebajikan rakyat seperti pemberian air percuma dan juga skim kematian untuk semua kaum. Selangor mendahului negeri di bawah pemerintahan BN dalam soal demikian. Dengan urus tadbir yang baik Pakatan Rakyat Selangor mampu menunaikan tanggungjawab yang diberikan," ujar beliau lagi.

Mustaffa berkata rakyat Perak perlu melakukan perubahan pada PRU-13 supaya negeri ini tidak lagi disalah gunakan oleh pemimpin rakus Umno-BN.

Di ceramah perdana di Markas PAS Bukit Chandan Kuala Kangsar pula Mustaffa meminta rakyat mengambil langkah berani seperti yang dilakukan oleh rakyat Sibu pada pilihan raya kecil 16 Mei lalu.

"Seluruh rakyat Perak perlu melihat keberanian yang dilakukan oleh rakyat Sibu, mereka sudah serik dan mahukan perubahan. Walaupun BN datang dengan segala janji tetapi ketetapan hati mereka tidak berubah, apa yang pasti kebencian mereka kepada BN sudah tidak boleh ditawar menawar.

"Sekarang Sibu menjadi pemangkin kepada perubahan politik di Sarawak mahupun Sabah. Jadi inilah yang kita mahukan di Perak, kita terima apa juga yang Umno-BN beri tetapi setiap undi adalah untuk Pakatan Rakyat.

"Saya pasti Perak akan lebih selamat berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat," kata beliau.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009