KUALA LUMPUR 15 Julai - Pertemuan antara Pengarang Suara Keadilan, Dzulkarnain Taib dengan ASP Rejali ak Angong di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya yang dijadualkan hari ini dibatalkan serta ditunda pada satu tarikh yang akan ditetapkan.
Dzulkarnain ketika dihubungi mengesahkan bahawa pertemuan itu telah ditunda dan peguamnya Latheefa Koya akan menghubungi ASP Rejali bagi mendapatkan tarikh baru untuk memberi keterangan berhubungan laporan polis yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri Isnin lalu terhadap Suara Keadilan.
"Pertemuan hari ini telah dibatalkan dan Latheefa akan menghubungi ASP Rejali bagi membincangkan tarikh baru bagi memberi keterangan. Seperti dikatakan sebelum ini pihak Suara Keadilan akan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak polis bagi melancarkan siasatan mereka berhubung laporan KDN itu.
"Saya dipanggil untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah," jelasnya.
Sebelum itu semalam ASP Rejali dari IPD Putrajaya meminta pengarang Suara Keadilan hadir ke IPD Putrajaya untuk memberi keterangan pada pukul 2.00 petang ini.
Laporan polis tersebut dibuat oleh KDN pada pukul 8 malam hari Isnin di IPD Putrajaya di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) yang mendakwa Suara Keadilan meneruskan penerbitannya walaupun permit penerbitan telah tamat sah laku pada 30 Jun lalu.
Edisi "Keadilan" yang diedarkan percuma kepada umum dilihat masih memainkan isu Felda walaupun Suara Keadilan kini berdepan tuntutan ganti rugi sebanyak RM200 juta ekoran penyiaran artikel "Felda Bankrap" yang dianggap fitnah.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment