AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Saturday, July 17, 2010

Persidangan FBI Di Kuala Lumpur Bukti Umno-BN Agen Amerika


SHAH ALAM 17 Julai - Selepas menyerang kredibiliti Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengaitkan beliau sebagai agen Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA), kerajaan Umno-BN kini menghadapi tamparan besar apabila bukti jelas menunjukkan mereka sebenarnya tunduk kepada kuasa besar Amerika Syarikat.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Badrul Hisham Shaharin aka CheGuBard mendedahkan satu Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBI NAA) Bahagian Asia Pasifik ke-13 akan diadakan di Kuala Lumpur mulai 19 hingga 23 Julai ini.

"FBI atau Federal Bureau of Investigations (Biro Siasatan Persekutuan) merupakan cabang militan kerajaan Amerika Syarikat untuk mengenakan hegemoni ke atas negara lain.

"Adalah amat memalukan pegawai kanan polis kita bekerjasama dengan polis AS yang menyeksa manusia khususnya umat Islam di Amerika Syarikat, membunuh orang awam yang tidak berdosa di Afghanistan dan Iraq, dan mengintip umat Islam yang memperjuangkan keadilan dan kebebasan," ujar CheGuBard dalam satu kenyataan media.

CheGuBard yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata latihan pegawai kanan polis itu merupakan sebahagian daripada program AS untuk mempengaruhi individu yang mempunyai kedudukan penting dalam institusi seperti polis, tentera, kehakiman, parlimen dan pertubuhan bukan kerajaan NGO dengan alasan memerangi keganasan.

"Di Iraq dan Afghanistan pihak FBI telah melatih beratus pegawai bagi memastikan negara itu terus patuh kepada kehendak AS apabila tenteranya berundur meninggalkan negara itu," kata beliau.

Menurutnya, selain beberapa buah negara seperi Arab Saudi dan Mesir, perhatian Amerika Syarikat tertumpu kepada Indonesia, malah AS juga sudah menarik balik sekatan jualan dan bantuan ketenteraan yang dikenakan ke atas Indonesia sewaktu rejim pemerintahan presiden Suharto.

"Pasukan polis elit di Indonesia turut mendapat latihan di AS dengan bekerjasama rapat dengan CIA, FBI dan unit perisik Australia dengan tujuan utamanya memerangi aktiviti ‘pengganas'. Berdasarkan laporan Reuters, sekitar 2,800 pegawai tentera Indonesia pada masa ini sedang menjalani latihan di AS," ujarnya.

CheGuBard berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi dari laman sesawang FBI, pelatih akan di bawa untuk mengunjungi Muzium Holocaust di Washington DC sebagai salah satu dari ‘komponen moral dan etika untuk latihan.’

"Sudah tentu agenda tersembunyi ini adalah untuk melahirkan simpati terhadap Zionis Israel, mengesahkan penubuhan Israel di tanah Palestin dan mewajarkan dasar pro-Israel oleh AS," jelas beliau lagi.

Tambah CheGuBard, latihan untuk pegawai kanan Polis DiRaja Malaysia telah bermula sejak 1964 di mana sejumlah 58 pegawai kanan polis terlibat termasuk penyertaan bekas Ketua Polis Begara, Tun Hanif Omar.

Daripada jumlah itu seramai 16 pegawai kini masih dalam perkhidmatan polis.

"Sewaktu kunjungan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir ke Rumah Putih pada Mei 2002, Malaysia dan AS telah menandatangani deklarasi bersama untuk memerangi pengganas di Asia Tenggara. Pada 1 Julai 2003, Pusat Wilayah Asia Tenggara bagi Menentang Keganasan telah ditubuhkan di Kuala Lumpur. Apa yang lebih menarik, bekas Presiden Bush telah mengumumkan penubuhan pusat itu sewaktu mesyuarat APEC di Mexico pada 2002.

"Pada 3 Mei 2002, Datuk Seri Najib Razak dalam syarahannya di Heritage Foundation di AS, mendedahkan bahawa Malaysia telah membenarkan kapal terbang tentera AS menggunakan ruang udara Malaysia sewaktu Operasi Enduring Freedom di Afghanistan. Beliau juga menyatakan bahawa Malaysia membantu AS dalam menangkap dan menyerahkan suspek pengganas yang dikehendaki oleh AS," jelas beliau.

GheGuBard mendakwa Malaysia turut membantu AS menangkap dan menyerahkan suspek pengganas dikehendaki oleh AS seperti yang berlaku kepada beberapa individu yang ditahan ISA beberapa bulan lalu mempunyai kaitan dengan agensi risikan AS.

"Kami percaya penangkapan dan penghantaran pulang pelajar Islam luar negara baru-baru ini, dimulakan oleh agensi perisikan AS dan Australia yang merekarekacipta bukti terhadap aktivis Islam," ujarnya.

Justeru beliau menggesa Umno-BN supaya menghentikan segera Persidangan FBINAA dan tidak menghantar pegawai polis atau tentera untuk mendapat latihan dengan AS.

Sebaliknya, kerjasama patut dilakukan bersama India, Sweden, Iran dan lain-lain negara selain kuasa besar itu.

"AS seharusnya dihormati sebagai sebuah negara tetapi tidak boleh disembah sebagai tuan. Solidariti Anak Muda Malaysia sedang mempertimbangkan secara serius beberapa tindakan jika regim tidak mahu berganjak termasuk dengan 'menyerbu' persidangan tersebut," tegas CheGuBard.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009