AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Wednesday, July 7, 2010

KPDNHEP Digesa Lindungi Kepentingan Pengguna


KUALA LUMPUR 7 Julai - Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul menuntut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) lebih menumpukan perhatian pada kaedah memelihara kepentingan pengguna.

Ini berikutan kaedah pelaksanaan tribunal telah menafikan hak pengguna untuk membawa peguam apabila berhadapan satu-satu tuntutan pengguna dibuat sehingga dihadap ke muka pengadilan.

"Dalam tribunal ini, apa yang berlaku adalah pengguna tidak dibenarkan membawa peguam ketika pendengaran dilakukan.

"Manakala presiden tribunal pula akan membuat keputusan dengan menjadi sekadar orang tengah apabila satu-satu tuntutan pengguna dibuat.

"Akibatnya, kes-kes penganiayaan pengguna seperti kes Abdul Aziz Abdul Ghani vs Nazakia, bernombor TTPM-WB(B)1095-2004 seringkali menimpa pengguna," katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.

Merujuk kes tersebut, Johari berkata, ketua tribunal pada dua sesi pendengaran pertama kes itu memutuskan bahawa Abdul Aziz dibenarkan menuntut RM2,000 dan kemudiannya dikurangkan pada RM1,500 dari Naza Kia kerana syarikat pengedar itu tidak hadir dalam pendengaran tersebut.

Menurut beliau, Naza Kia kemudiannya membawa kes tersebut ke mahkamah demi mempertahan kepentingan korporat mereka.

Akhirnya, hakim pula memutuskan Abdul Aziz membayar lebih RM10,000 sebagai menanggung kos mahkamah dan sebagainya.

Melihat pada kes tersebut, Johari menyifatkan akta yang sedia ada langsung tidak melindungi pengguna.

Bercakap pada sidang media yang sama, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata pengguna di negara ini seolah-olah tidak dilindungi oleh satu akta yang khusus.

Beliau juga khuatir kerana Akta Perlindungan Pengguna yang sedang dibahaskan sejak sebulan yang lalu masih tidak memperlihatkan komitmen kerajaan untuk melindungi pengguna.

"Kita bimbang sebab tak ada klausa-klausa spesifik untuk melindungi pengguna. Ini kerana akta yang sedia ada nyata menafikan hak pengguna.

"Selepas 11 tahun akta ini tidak dipinda, memang banyak kes menafikan hak keadilan pengguna," kata Azan lagi.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009