SHAH ALAM 20 Julai - Kejadian pecah rumah yang berlaku di kediaman Manjeet Singh Dhillon, salah seorang peguam kepada bekas penyiasat persendirian, P Balasubramaniam menimbulkan tanda-tanya dan kecurigaan sama ada ianya didalangi oleh pihak-pihak tertentu.
Dalam kejadian pecah rumah terbabit, bilik tidur utama di kediaman Manjeet telah diselongkar dan sebuah komputer riba miliknya juga telah dicuri.
Beliau dalam pada itu menyifatkan pihak yang mencuri komputer ribanya dalam kejadian pecah rumah semalam berkemungkinan mempunyai maksud yang tersirat kerana menurutnya hanya komputer riba miliknya sahaja yang telah dicuri oleh penceroboh berkenaan.
Rakan sejawat Manjeet, Americk Sidhu, ketika dihubungi Suara Keadilan berkata pencuri tersebut dipercayai memecah masuk melalui bumbung bilik air di dalam bilik utama di tingkat atas sebelum menggeledah seluruh rumah Manjit.
"Tidak ada apa-apa barang berharga yang hilang termasuk barang kemas milik isterinya tetapi apa yang diambil cuma sebuah komputer riba lama milik Manjeet.
Tambahnya semasa kejadian itu berlaku, pembantu rumahnya tidur di bilik tingkat bawah dan dia tidak menyedari pencuri telah menceroboh rumah tuannya itu.
Manjeet ketika dihubungi Suara Keadilan pula berkata tindakan itu seperti sudah dirancang kerana apa yang diambil hanyalah komputer riba yang tidak mengandungi apa-apa maklumat berhubung kes yang dikendalikannya ketika ini.
Beliau dalam pada itu berkata akan membuat laporan polis sekembalinya beliau daripada kota London selepas selesai mengiringi Bala menemui pendakwaraya Perancis berhubung skandal pembelian dua buah kapal selam jenis 'Scorpene'.
Dalam kejadian pertama pada 19 November 2009 beberapa bom petrol telah dibaling ke rumah Manjeet yang merupakan seorang peguam terkemuka dan juga bekas presiden Majlis Peguam, dipercayai ada kaitan dengan wawancara dengan Bala yang disiarkan dalam Youtube.
Kejadian yang berlaku pada pukul 7.20 malam itu telah menyebabkan rumahnya di Damansara mengalami kebakaran yang merosakkan dinding garaj rumahnya.
Manjeet berkata ketika itu, insiden tersebut mungkin satu amaran dan ancaman diri dan keluarganya ekoran kehadirannya dalam satu rakaman wawancara dengan Bala di Singapura.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment