KUALA LUMPUR, 19 Julai - Naib Presiden Parti Islam Se-Malaysia, Salahuddin Ayub hari ini menyeru kerajaan Malaysia agar memastikan keselamatan Sarjan dari Tentera Udara Diraja Malaysia, N Tharmendran atas dakwaan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM.
Beliau yang ditemui pada satu sidang media yang diadakan di Ibupejabat PAS Pusat di Kuala Lumpur pagi tadi berkata perkara itu menimbulkan kerisauan terhadap keselamatan Tharmendran dan keluarganya.
Dalam pada itu beliau juga berharap pihak kerajaan dapat mengambil satu langkah yang segera bagi memastikan keselamatannya.
"Saya menyatakan tentang isu keselamatan Tharmendran yang akan dibicarakan nanti, saya menyeru kepada Kerajaan Malaysia terutamanya Kementerian Dalam Negeri menjamin keselamatan beliau. Perkara ini perlu ditekankan kerana ia telah berlaku sebelum ini, kita melihat kes pembunuhan warga negara Mongolia, Altantuya Shaariibuu dan juga kes Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Bagi saya isu kehilangan enjin jet ini tidak akan berlaku disebabkan oleh seorang individu sahaja, ketika itu dibawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang memegang jawatan sebagai Menteri Pertahanan dan sekarang Najib telah menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.
"Bila melihat kepada senario ini saya berkeyakinan proses perbicaraan secara biasa tidak akan dapat menyelesaikan kes tersebut dan saya berharap pembentukan satu Suruhanjaya Di Raja yang akan melakukan penyiasatan secara menyeluruh terhadap kes tersebut. Perbicaraan secara telus akan dapat dijalankan jika terbentuknya suruhanjaya tersebut," jelasnya.
Salahuddin juga menjelaskan tidak masuk akal jika perkara itu dilakukan oleh mereka yang berpangkat rendah sedangkan kes itu melibatkan penghantaran enjin jet ke negara luar.
"Tak masuk akal langsung jika kejadian itu dilakukan oleh mereka yang berpangkat rendah, kita tahu kehilangan enjin jet ini melibatkan negara luar di Uruguay. Tanpa penglibatan mereka yang berpangkat besar tidak mustahil enjin tersebut boleh dihantar ke sana.
"Apa yang kita inginkan adalah keselamatan Tharmendran terjamin termasuk keluarganya serta pembentukan Suruhanjaya Diraja agar perbicaraan dijalankan secara adil.
"Apa yang saya tahu beliau sekarang tidak diketahui berada di mana dan pihak KDN mahu pun kerajaan perlu pastikan keselamatannya jangan biarkan perkara yang sama berulang, disebabkan kesalahan orang berprofil tinggi maka yang berpangkat rendah menjadi kambing hitam," sambungnya lagi.
Sebelum itu, Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.
Bagi kesalahan tersebut, dia boleh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment