AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, June 22, 2010

Perbicaraan Bekas Pegawai Khas Menteri Besar Selangor Bermula


SHAH ALAM 22 Jun - Perbicaraan terhadap bekas Pegawai Khas Menteri Besar Selangor, Mohd Yahya Shaari, 43, bermula semalam di Mahkamah Seksyen Shah Alam atas dua pertuduhan iaitu menipu dan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan sumbangan.

Beliau yang merupakan ahli politik bagaimanapun mengaku tidak bersalah mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan terhadap dua tuduhan tersebut membabitkan peruntukan bernilai RM50,000 dua tahun lalu.

Bagi tuduhan pertama, beliau yang merupakan Pengarah Program Sambutan 100 Hari Pakatan Rakyat didakwa menipu Pengerusi Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB), Datuk Karim Munisar, 59, dengan memperdayakannya bahawa Sekretariat Pakatan Rakyat memohon sumbangan bagi program itu sehingga mangsa menyerahkan RM50,000 kepadanya.

Beliau yang mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan didakwa melakukan kesalahan itu di Gardenia Coffee House, Hotel Quality di sini, antara 1.00 dan 3.00 petang pada 4 Jun 2008.

Jika disabit dengan kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Mohd Yahya didakwa menggunakan dokumen iaitu ‘Resolusi Pembukaan Akaun untuk Parti Keadilan Rakyat Selangor’ yang didakwa sebagai tulen.

Mohd Yahya didakwa melakukan perbuatan itu di Maybank cawangan Bandar Sunway pada 14 Mei 2008.

Bagi pertuduhan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohd Yahya yang juga bekas Setiausaha Perhubungan KEADILAN Selangor mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Beliau sebelum ini dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM10,000 oleh seorang penjamin.

Pertuduhan ke atas beliau dibacakan oleh Timbalan Pendakwaraya Roziza Sidek, manakala penghakiman dijalankan di hadapan Majistret Tuan Ahzariz Teh Azman Teh.

Mohd Yahya Shaari diwakili oleh peguam Ahmad Nizam Hamid dan R Tirukumaran.

Turut hadir bagi memberi sokongan moral kepada beliau dalam perbicaraan tersebut termasuk Timbalan Presiden KEADILAN, Dr Syed Husin Ali, Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Perak, Mustaffa Kamil Ayub dan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Muda, Suhaimi Shafiei.

Prosiding bermula pada jam 10 pagi apabila pihak pendakwaan mengemukakan dua orang saksi yang terdiri daripada kakitangan bank yang didakwa berurusan dengan Mohd Yahya iaitu Norkiah Ibrahim dan Nofeta Fareal bagi tujuan pengecaman dan sesi awal soalan dari pasukan pendakwaan.

Soalan berkisar mengenai latar belakang saksi, pengalaman kerja dan urusan formal yang dilakukan oleh kakitangan bank.

Mohd Yahya yang berkot hitam duduk di kandang tertuduh dilihat tenang dalam proses perbicaraan tersebut.

Majistret Tuan Ahzariz Teh menangguhkan prosiding pada jam 12.00 tengahari selepas Timbalan Pendakwaraya Roziza Sidek memohon kepada Majistret untuk memanggil saksi bagi tujuan pengecaman dan membawa bukti berkaitan kes tersebut ke mahkamah.

Mahkamah menyambung prosiding pada jam 8.30 pagi hari ini.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009