AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Friday, June 18, 2010

Mahkamah Tolak Permohonan Anwar Dibekalkan Dokumen


KUALA LUMPUR 18 Jun - Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menolak permohonan pihak pembelaan untuk suatu perintah bagi mengarahkan pendakwa raya untuk membekalkan pemohon dengan dokumen dan material berkaitan kes Fitnah 2 terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohamad Zabidin ketika membuat keputusan tersebut menjelaskan bahawa tidak wujud peruntukan atau undang-undang yang mengatakan dokumen itu perlu dibekalkan.

"Dengan ini permohonan ditolak dan perbicaraan ditangguhkan," kata Mohamad Zabidin ketika membacakan keputusannya.

Perbicaraan kes Fitnah 2 yang bersambung semula hari ini mendengar penghujahan bertulis yang dibuat oleh peguambela Karpal Singh berhubung permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen dan material berkaitan kes beliau.

Karpal memohon kepada mahkamah untuk membekalkannya dengan sejarah perubatan lengkap saksi utama, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang telah dibuat di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau turut memohon kepada mahkamah untuk dibekalkan dengan dokumen berkaitan prosedur standard dan peralatan yang digunakan bagi menjalankan pemeriksaan berkaitan kes-kes seksual.

Karpal dalam penghujahan bertulisnya menjelaskan pihaknya juga memohon kepada mahkamah untuk membekalkan pihaknya dengan nota-nota, laporan, material, spesimen dan sebarang maklumat berkaitan termasuk nota tulisan tangan, maklum balas dan catitan ketiga-tiga orang doktor Dr Khairul Nizam, Dr Mohd Razali Ibrahim dan Dr Siew Sheue Feng.

Beliau turut memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan salinan senarai sijil dan dokumen yang membuktikan kelayakan ketiga-tiga orang doktor tersebut.

Sebelum ini perbicaraan ditangguhkan kepada 4 Jun lalu selepas pihak pembelaan mengemukakan pakar forensik dan perubatan bagi meneliti pengakuan yang dibuat oleh tiga doktor tersebut.

Pakar forensik tersebut, Dr David Wells ialah seorang profesor madya di Jabatan Kriminologi di Universiti Melbourne dan juga ketua perubatan forensik dari Victoria Institute of Forensic Medicine, Australia.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, dalam penghujahan bertulisnya menjelaskan bahawa pihak pembelaan tidak layak untuk mendapatkan dokumen dan material bagi kes tersebut kerana tidak ada akta khusus yang diungkap bagi menyokong permohonan ini.

"Dokumen dan material yang dipohon oleh peguam bela tidak diperlukan bagi tujuan soalan balas kepada saksi kedua, iaitu Dr Mohd Razali Ibrahim dan dua orang doktor yang lain," kata Mohd Yusof.

Karpal ketika ditemui di luar mahkamah menjelaskan bahawa, beliau akan memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan pada hari Isnin depan.

"Kita akan hantar notis pernohonan rayuan pada hari Isnin minggu hadapan," kata beliau.

Sumber: Suara Keadilan

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009