AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Saturday, June 26, 2010

Kementerian Sumber Manusia Berbohong Tentang Akta Gaji Minima


SHAH ALAM 26 Jun - Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvam menyifatkan kenyataan Kementerian Sumber Manusia sebagai satu pembohongan dalam mengemukakan alasan mengapa kerajaan tidak mahu melaksanakan Akta Gaji Minima.

"Sejak hari pertama, Menteri berkenaan mengatakan bahawa mereka tidak dapat melaksanakan undang-undang ini kerana para majikan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Kementerian tersebut dalam kenyataan terdahulu mengatakan bahawa polisi dan falsafah Kerajaan adalah untuk mengikuti sistem pasaran dalam menentukan upah dan tidak akan melaksanakan Gaji Minima. Sekurang-kurangnya, ini adalah jawapan yang lebih jujur," kata Arutchelvam.

Arutchelvam mendedahkan alasan terbaru kerajaan untuk tidak melaksanakan undang-undang tersebut adalah kerana tidak mendapat respons yang meluas di dalam laman web kementerian terbabit.

Beliau menganggap alasan ini tidak masuk akal dan keterlaluan kerana bagaimana dasar utama berkaitan pekerja di negara ini mampu ditentukan oleh jumlah maklum balas yang diterima daripada sebuah laman web.

"Adakah ini bermakna bahawa jika laman tersebut mendapat ribuan maklum balas dalam e-mel meminta Menteri untuk meletakkan jawatan, maka ia akan terjadi?" soalnya.

"Pekerja di Malaysia sebenarnya tidak memiliki peluang tersebut. Tapi, nampaknya kementerian percaya bahawa kebanyakan pekerja di Malaysia yang bekerja selama 12 jam, bekerja lebih masa (over time), serta bekerja sambilan, akan mempunyai masa untuk melayari blog mereka," jelasnya dengan sinis.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), kesatuan sekerja yang terbesar di Malaysia, bersama-sama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti politik telah mendesak penggubalan Akta Gaji Minima.

Setiap tahun sejak sedekad lalu, deklarasi Hari Pekerja yang disertai oleh puluhan kumpulan dan pertubuhan secara konsisten menuntut pelaksanaannya, tetapi pihak kerajaan seolah-olah 'buta' dan 'memekakkan telinga' terhadap tuntutan tersebut.

PSM menyelar tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional yang dianggap telah menjual 'jiwa'nya kepada agenda kapitalis dan pemain ekonomi dunia dan telah melakukan sesuatu yang mungkin akan memberi tekanan kepada para pekerja di negara ini.

"Kerajaan Umno-BN nampaknya lebih gemar untuk membuat rundingan dengan para majikan, dengan cadangan untuk meluluskan rang undang-undang di parlimen yang kelihatan memudahkan mereka untuk memecat pekerja, dan mengelakkan dari pekerja untuk mendapat pampasan," jelas Arutchelvam.

Beliau menjelaskan Akta Gaji Minima akan menjamin pembayaran upah minimum pekerja.

Ini akan mengurangkan jurang antara kaya-miskin seperti Malaysia, yang merupakan antara negara yang menunjukkan antara kadar perbezaan pendapatan yang tertinggi di Asia.

Kaedah ini sebagai permulaan untuk membantu Rancangan Malaysia Ke-10 yang bertujuan untuk meningkatkan kadar pendapatan di negara ini, selain daripada mengelakkan eksploitasi terhadap golongan pekerja.

"Kerajaan Umno-BN nampaknya tidak mempunyai keazaman politik untuk melaksanakan undang-undang yang pro-pekerja. Mereka seolah-olah tidak mempunyai kekuatan untuk dan terpaksa patuh kepada 'tuan-tuannya'. Sekarang adalah masanya bagi para pekerja untuk berjuang dan mengembalikan haknya," tegas beliau lagi.

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009