Arkib Blog

Saturday, June 26, 2010

Isu subsidi: Kapitalis dan kroni diutamakan, rakyat dimangsakan


Kalau kerajaan sentiasa membantu kapitalis dan memangsakan rakyat, sudah tentu rakyat tidak akan membantu kerajaan, apa lagi membiarkan hak mereka dirampas, ulas Jerit.


Datuk Seri Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (pada 27 Mei 2010) mengatakan bahawa kalau budaya subsidi dikekalkan di Malaysia, maka negara akan menjadi bankrupt sepertimana negara Greek sekarang. Katanya subsidi harus dihentikan kerana hutang kerajaan meningkat dan belanjawan negara defisit sebanyak RM47 bilion.

Kerajaan Malaysia sekarang mengadakan kempen untuk memberitahu rakyat keburukan subsidi dan bagaimana kita sedang boros dalam membelanjakan duit negara dengan subsidi dan merosakkan masa depan generasi akan datang. Pendek kata, kalau nak hidup guna duit sendiri, jangan harapkan bantuan kerajaan. Itulah mesej yang cuba disampaikan.

Sebelum kita menganalisa kenapa keadaaan ini berlaku, mari kita analisa barang-barang apa yang disubsidikan untuk rakyat.

Antara barangan yang diberi subsidi ialah beras, gula, gandum, minyak masak , perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan petrol. Subsidi untuk bahan-bahan inilah yang secara langsung dinikmati oleh rakyat.

Manakala subsidi yang lebih besar dinikmati oleh syarikat kapitalis seperti Syarikat Tenaga Bebas (IPP) iaitu YTL Power, Genting Sanyen dan Malakof dimana subsidi RM20 bilion diberi setiap tahun. Bukan itu sahaja, pinjaman tanpa faedah bernilai RM320 juta diberi kepada Syabas untuk tempoh 20 tahun. Subsidi dan juga bailout dilakukan dengan duit kerajaan untuk syarikat kroni kerajaan.

Selain itu, banyak duit kerajaan juga hilang akibat penyelewengan, rasuah pemberian kontrak tanpa tender dan sebab ketidakefisinian. Lebih kurang RM20 billion setahun hilang akibat masalah ini. Apa yang akan dan sedang dibuat untuk mengatasi masalah ini ? Sehingga kini rasuah dan penyelewengan masih berleluasa dan pembaziran wang terus berlaku akibat projek mega seperti Iskandariah dan projek gagal seperti jambatan bengkok.

Kerisauan Datuk Seri Idris Jala memang kena pada waktunya kerana hutang negara ialah 54 peratus dari pendapatan negara. Persoalannya, siapa yang menyebabkan hutang ini? 52 tahun negara ini ditadbir oleh kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional. Maka kalau bukan mereka siapa lagi? Keadaan ini berlaku akibat kesalahan dalam pentadbiran oleh kerajaan sekarang. Walaupun Perdana Menteri saling bertukar, tetapi sistemnya masih sama.

Bukannya negara tidak pernah ada budget surplus. Pada tahun 1990an, lima tahun negara ada budget surplus. Mana pergi duit ini semua? Kenapa lebihan itu tidak digunakan dengan menguntungkan negara ? Biasalah, lebihan disapu oleh ahli politik BN dan kroni-kroni mereka.

Pada masa sekarang hutang kerajaan melebihi RM300 bilion dan lebih 50 peratus dari hutang ini adalah dari zaman Mahathir. Bukan itu sahaja, faedah untuk hutang ini adalah RM12 bilion setahun. Maka untung Petronas hanya boleh digunakan untuk membayar hutang dan tidak boleh digunakan untuk membangunkan negara.

Nampaknya ketiadaan wang dan peningkatan hutang negara adalah akibat kesalahan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional. Maka kenapa rakyat pula dimangsakan sekarang? Kenapa subisidi bahan makanan hendak dikurangkan manakala tiada berita mengenai menghentikan subsidi kepada syarikat syarikat besar seperti YTL dan Genting ?

Pada tahun 2007 dan 2008 dan juga pada tahun-tahun sebelumnya, apabila harga petrol dinaikkan, kerajaan BN akan mengatakan bahawa duit subsidi yang ditarik balik itu akan digunakan untuk meningkatkan sistem pengangkutan awam negara. Akan tetapi sehingga kini, janji kekal janji dan tiada perubahan dalam sistem pengangkutan negara. Maka rakyat tiada pilihan lain, dan terpaksa menggunakan kereta dan menanggung kos yang tinggi untuk pengangkutan. Duit lebihan subsidi pula masuk poket kroni mereka?

Cukup sudah dengan cerita dongeng BN dan kempennya yang hendak menyebabkan rakyat rasa bersalah. Bukan salah rakyat negara kita macam ini. Ini adalah salah pimpinan dan parti politik yang mentadbir negara. Maka kenapa kita harus tanggung akibatnya?

Subsidi bukannya amalan yang salah. Satu kerajaan yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat harus membawa subsidi untuk mengurangkan kos hidup rakyat dan memastikan rakyat dapat perkhidmatan asas seperti hospital dan pendidikan dengan bayaran minimum. Duit subsidi bukannya duit bapa pemimpin negara ini. Ia adalah hasil usaha rakyat negara ini dan juga pelbagai cukai yang dibayar oleh rakyat negara ini. Maka memberi subsidi kepada rakyat bukannya satu masalah. Rakyat bayar segala jenis cukai dari cukai pendapatan hingga cukai perkhidmatan bila perlu walaupun gaji sebenar tidak naik naik dalam 10 tahun yang lepas. Sebaliknya menteri-menteri cukai jalan tak payah bayar. Banyak faedah yang dinikmati oleh mereka dan gaji pula tinggi. Kenapa penjimatan tidak berlaku dari atas, supaya rakyat boleh ambil teladan? Adakah logik, rakyat memilih wakil rakyat dan menteri dan mereka yang dipilih ini diberi gaji tinggi dan rakyat biasa pula ditarik subsidi.

Kerajaan BN haruslah sedar. Jangan tipu rakyat lagi. Kerajaan perlu dengan kadar segera implementasi tuntutan rakyat seperti Akta Gaji Minima, sistem pengangkutan awam yang baik, hak dan kebajikan pekerja yang dilindungi, Tabung pemberhentian kerja dan juga hentikan penswastaan perkhidmatan asas. Tanpa membuat perkara-perkara ini, kalau kerajaan hendak harapkan rakyat untuk memahami kedudukan meraka yang tenat, ia tidak akan berlaku.

Ingat, kalau kerajaan adalah pro rakyat, rakyat akan sanggup ikat perut membantu kerajaan. Akan tetapi kalau kerajaan sentiasa membantu kapitalis dan memangsakan rakyat, sudah tentu rakyat tidak akan membantu kerajaan, apa lagi membiarkan hak mereka dirampas.

Kohila
Sekretariat JERIT


Sumber: Aliran

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009