PENANTI 20 Mei - Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang menentang sekeras-kerasnya tindakan kerajaan meluluskan lesen perjudian sempena pertandingan bola sepak Piala Dunia pada bulan Jun depan kepada Berjaya Corporation Berhad milik Tan Sri Vincent Tan.
Ketua AMK Pulau Pinang, Amir Md Ghazali berkata pemberian lesen perjudian itu bukan saja menggalakkan masalah sosial berleluasa dalam masyarakat negara ini malah ia juga mencemarkan nama baik negara sebagai sebuah negara Islam.
"Untuk apa Umno mencanangkan mereka adalah sebuah parti yang memperjuangkan agama dan bangsa sedangkan pada hakikatnya mereka merestui dan menggalakkan pertaruhan dan perjudian diamalkan.
"Dengan amalan perjudian ini rumahtangga boleh menjadi lintang pukang, hutang piutang akan bertambah kepada kaki judi, ketagihan judi yang digalakkan ini juga akan menjadi satu galakan untuk masyarakat aktif dan bergiat dalam kegiatan tidak bermoral ini.
"Sebagai pemimpin yang beragama Islam mereka Umno-Barisan Nasional) sepatutnya malu dengan tindakan mereka meluluskan lesen perjudian tersebut apabila Ahli Parlimen Rasah daripada DAP, Anthony Loke yang bukan Islam membantah kelulusan lesen perjudian itu kepada Tan Sri Vincent Tan yang menerajui Berjaya Corporation," kata Amir.
Amir juga mendesak kepimpinan Umno supaya membuktikan bahawa mereka peka dan sensitif mengenai perkara ini dengan mengadakan bantahan terhadap kerajaan yang secara nyata dan ketara menolak apa yang dilarang Islam.
"Saya ingin lihat sejauh mana bantahan dan bangkangan mereka yang selama ini mendabik dada dan mengatakan mereka juga adalah memperjuangkan agama.Oleh kerana itu buktikan bahawa cakap mesti serupa bikin dan bukan sebaliknya," tambah beliau lagi.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment