MARANG, 4 Mei: Siri keruntuhan bangunan-bangunan di negeri ini perlu dijadikan isu rakyat terhadap sikap acuh tak acuh pemimpin Umno/BN negeri, kata Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah.
Ini, katanya kesan rasuah dan sikap acuh tak acuh di kalangan pimpinan Umno/BN negeri yang menyebabkan berlakunya insiden keruntuhan itu amat memalukan rakyat keseluruhannya.
Tambahnya, negeri ini dilihat sebagai antara negeri yang banyak isu politik, bermula percakaran sesama Umno, tekanan pihak kerajaan BN yang merimaskan rakyat hinggalah runtuhan bangunan yang kerap kali berlaku.
Justeru, ujarnya rata-rata rakyat Malaysia menjenamakan Terengganu sebagai ‘Darul Runtuh’.
Namun, katanya setakat mana para pemuda PAS negeri sebagai ‘orang dalam’ memanfaatkan isu itu yang perlu dinilai kembali dalam usaha menghasilkan persepsi yang sepatutnya kepada rakyat.
Beliau turut mengingatkan anggota pemuda bahawa tugas penerangan dan gerak saraf harus bermula dari sekarang di mana gerak kerja secara gempur hendaklah bermula semenjak dari awal lagi.
“Isu yang sebegini banyak tidak akan menyentuhi masyarakat jika ia dibawakan di saat-saat akhir atau apabila tiba musim pilihan raya,” ujarnya pada satu program pemuda.
Sehubungan itu, momentum kebangkitan rakyat negeri ini perlu digerakkan dari gelombang anak muda.
Namun, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong turut mempersoalkan adakah dalam isu yang banyak itu aktivis pemuda mampu menggelorakan gelombang kebangkitan anak muda seluruhnya.
Beliau juga menyatakan bahawa jentera penerangan dilihat sebagai sebuah jentera besar yang akan mewarnai kemenangan dalam Pilih raya Umum ke-13 nanti.
Justeru, katanya pemerkasaan di peringkat negeri perlu dilakukan secara serius dan bersungguh-sungguh oleh pemuda PAS untuk dibawa ke peringkat kawasan dan Dun.
Mohd Nor turut mengajak seluruh anggota pemuda memberikan perhatian dan mewujudkan kebersamaan dalam usaha mempertahankan Masjid Pasir Minal di Kemaman bagi memastikan peristiwa Masjid Bujal tidak berulang kembali.
Sumber: Harakah Daily
0 comments:
Post a Comment