KOTA BHARU 28 Mei - Timbalan Presiden KEADILAN, Senator Dr Syed Husin Ali mahu sayap Angkatan Muda Wanita KEADILAN menjadi organisasi yang kuat dan kukuh supaya parti boleh di bawa dengan jayanya menuju ke puncak kemenangan menentang kezaliman.
Kata Dr Syed Husin matlamat menegakkan keadilan dan menentang kezaliman sememangnya menjadi perjuangan rakyat sepanjang zaman dan ia selaras dengan prinsip yang terdapat pada agama-agama besar terutamanya Islam yang mengajar penganutnya mentaati seruan "menegakkan keadilan dan ihsan".
"Dalam perjalanan untuk menuju kemenangan ini banyak masalah luaran dan dalaman yang kita harus hadapi. Dari luar kita diserang bertubi-tubi oleh para pemimpin Umno-Barisan Nasional, tanpa segan silu dan tanpa merasa bersalah mereka memperalatkan kuasa ekonomi serta politik yang mereka monopoli untuk menyerang kita.
"Tujuan mereka hanya untuk memburuk-burukkan dan menabur fitnah terhadap kerajaan pimpinan kita, parti, pemimpinan dan juga perjuangan kita. Mereka bermimpi hendak menumpaskan kita. Dalam segi dalaman pula kita sendiri mempunyai beberapa masalah dan kelemahan, sebahagian organisasi kita belum mantap, sesetengah pimpinan dan wakil rakyat kurang turun padang.
"Seterusnya ramai anggota bahkan pemimpin tidak menghormati atau mematuhi displin. Parti kurang mengadakan bengkel serta latihan untuk menguatkan perpaduan organisasi serta politik parti dan menimbulkan kader. Segala masalah dan kelemahan perlu segera dikenalpasti dan diatasi," kata beliau semasa berucap pada perasmian bersama Kongres AMK dan Wanita KEADILAN di Kelantan Trade Centre semalam.
Beliau mahukan AMK dan Wanita lebih aktif lagi dalam memberi penerangan kepada semua anggota tentang pelbagai isu yang melibatkan parti, rakyat dan negara.
"Wanita dan AMK perlu cekap menangkis segala propaganda hitam dari parti lawan, perlu meningkatkan bengkel dan latihan untuk mengeluarkan lebih ramai kader dan yang lebih penting lagi. Wanita dan AMK perlu merancangkan dan menjalankan pelbagai kegiatan yang harus dilakukan di kalangan masyarakat terutamanya yang miskin serta berpendapatan randah untuk membantu dan memperkasakan mereka.
"Setiap pemimpin dan seberapa ramai anggota Wanita dan AMK hendaklah mengetahui dan menghayati dasar perjuangan parti, segala kegiatan dan tindakan parti hendaklah berlandaskan dasar perjuangan tersebut. Segala langkah yang perlu hendaklah diambil bagi meningkatkan taraf pemimpin dan mengeluarkan segolongan kader yang sentiasa boleh bergerak di barisan hadapan parti.
"Semua pemimpin dan kader parti seboleh-bolehnya hendaklah mengkebalkan diri dengan nilai moral dan etika yang luhur, berdasarkan agama atau kepercayaan masing-masing. Wanita dan AMK harus dihormati dan menjadi contoh yang baik dalam parti di kalangan masyarakat.
"Apabila dalaman parti sudah diperkukuhkan, sudah tentulah lebih mudah dan berkesan untuk kita menangkis dan menepis segala serangan dan cabaran dari luar," sambungnya lagi
Dr Syed Husin juga mengulangi Wanita dan AMK merupakan sayap yang penting dan besar peranannya, maka usaha untuk memperkasa parti hendaklah segera dipelopori dan dilaksanakan berpanjangan olehnya. Tegas dan berani mesti diambil terhadap anasir perosak dalam Wanita mahupun AMK.
Sumber: Suara Keadilan
0 comments:
Post a Comment