Arkib Blog

Friday, March 19, 2010

PSM berang menteri 'persenda' Orang Asli

Parti Sosialis Malaysia (PSM) berang dengan kenyataan Datuk Seri Shafie Apdal yang menyifatkan demonstrasi Orang Asli baru-baru ini sebagai “bersiar-siar di Putrajaya”.

Setiausaha agungnya S Arutchelvan berkata kenyataan menteri pembangunan luar bandar dan wilayah itu menunjukkan sikapnya yang tidak hormat pada tuntutan masyarakat berkenaan.

"Komen seperti ini menunjukkan kurangnya rasa hormat menteri dan sikapnya terhadap penderitaan masyarakat ini.

"PSM mengambil pendirian solidariti bersama Orang Asli dan menuntut kerajaan supaya menunaikan tuntutan dan (menyelesaikan) masalah Orang Asli," katanya.

Rabu lalu, kira-kira dua ribu Orang Asli berdemonstasi di Putrajaya ekoran tidak puas hati dengan pengenalan dasar pemberimilikan tanah yang didakwa tidak adil bagi mereka.

Mengulas perkara itu, Shafie dilaporkan berkata, golongan tersebut datang bukan untuk protes tetapi jalan berjalan-jalan di Putrajaya yang sebelum ini hanya ditonton melalui televisyen sahaja.

Dalam satu kenyataan hari ini, PSM turut bimbang terhadap cadangan bagi meminda Akta Orang Asli akan “menjadi satu tindakan merampas tanah”.

"Mereka ditindas oleh kerajaan dan pemaju yang mahu memperkosa dan merampas tanah mereka.

"Sangat menyedihkan, semenjak sekian lama, beribu-ribu Orang Asli berarak di Putrajaya dan menuntut apa yang sepatutnya sudah menjadi hak mereka," katanya lagi.

Arutchelvan menjelaskan dasar pemberimilikan tanah - yang ditentang hebat itu - sengaja dicadangkan bagi “membuatkan masyarakat berkenaan kehilangan lebih banyak tanah”.

Dasar itu mencadangkan tanah-tanah mereka akan terlibat dalam pengagihan semula di mana setiap keluarga akan diberikan antara dua hingga enam ekar tanah.

Arutchelvan berkata, hak masyarakat Orang Asli terhadap tanah mereka perlu diiktiraf dan kerajaan juga perlu mengadakan perbincangan secara terhormat dengan kumpulan minoriti tersebut.

"Ianya menyedihkan bila kerajaan sering memberi reaksi mundur ke belakang sedangkan mereka sepatutnya berunding dahulu sebelum membuat sebarang keputusan," katanya lagi.

Kerajaan telah meluluskan dasar pemberimilikan tanah kepada Orang Asli pada Disember tahun lalu yang dijadikan asas untuk pindaan Akta Orang Asli (Akta 134).

Sumber: Malaysiakini

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009