AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, March 9, 2010

Jangan Mimpi Umno Kuasai Selangor- Azmin


SHAH ALAM 9 Mac - Ketua Kelab Penyokong-Penyokong Selangor, Mohamed Azmin Ali memberi amaran kepada jabatan-jabatan kerajaan khususnya anggota polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tidak menjadi alat perkakas Umno dan Barisan Nasional bagi meruntuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, kudeta kerajaan seperti ini tidak berkeupayaan menundukkan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat kerana rakyat secara total menolak pemerintahan Umno-BN dalam pilihanraya lalu.

"Genap dua tahun berlakunya tsunami politik dalam negara kita, dua tahun lalu orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan seluruh rakyat Malaysia dengan berani dan tegas bangun untuk menyatakan pendirian mereka dengan menolak Umno dan Barisan Nasional serta mengangkat suara rakyat sebagai kuasa baru termasuk di negeri Selangor ini," katanya ketika berucap pada program 'Syarahan Perdana 2 Tahun Pentadbiran Kerajaan Selangor' di Stadium Malawati Shah Alam malam tadi.

Ahli Parlimen Bukit Antarabangsa ini turut memberi jaminan Pakatan Rakyat merupakan pilihan rakyat di Selangor pada masa kini seterusnya akan datang.

"Saya percaya dengan rekod dua tahun Pakatan Rakyat di Selangor, dalam dua tahun yang akan datang kita akan menghadapi satu lagi pilihanraya bukan sahaja kita pertahankan kerusi-kerusi yang ada malah kita akan berjaya memerintah Selangor dengan majoriti sokongan yang lebih besar, kita juga akan meraih lebih banyak undi daripada rakyat Selangor."

Justeru, katanya, amanah yang diberikan rakyat kepada Pakatan Rakyat di Selangor akan diurus dengan sebaik-baiknya.

"Saya ingin memberi jaminan kepada Menteri Besar, kami akan memikul amanah ini, kami tak akan khianat amanah yang diberi rakyat kepada kami, kami akan mendukung pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor dan didukung seluruh kekuatan Exco Kerajaan Negeri Selangor.

"Namun kita jangan terlalu selesa kerana di luar sana ada mahkluk sejenis spisis yang rakus, ganas, zalim yang masih bercita-cita untuk merampas kerajaan dan serata rakyat di Selangor.

"Mereka mungkin berjaya di negeri Perak tetapi apakah mereka akan berjaya di negeri Selangor, Insya-Allah tidak," katanya sambil disambut laungan 'tidak' lebih 8,000 hadirin.

Beliau turut mengulas kejayaan Konvensyen Pakatan Rakyat Selangor 7 Mac lalu termasuk tindakan ganas polis menganggu majlis ceramah yang diadakan Pakatan Rakyat sempena ulang tahun kedua pentadbirannya.

"Konvensyen lalu membuktikan kekuatan yang ada di kalangan pemimpin KEADILAN, PAS, dan DAP, kita muafakat dengan berpegang kepada kerangka besar agenda perjuangan untuk menjaga kepentingan rakyat di negeri Selangor dan Alhamdulillah dengan kepimpinan yang telah ditunjukkan oleh Menteri Besar dan seluruh anggota Exco Selangor, kita telah berjaya menjana perubahan lebih besar apa yang telah dilakukan Umno selama 50 tahun lalu.

"Namun asakan masih lagi berlaku. Malam semalam (7 Mac), kita mengadakan sambutan dua tahun program yang sama peringkat Wilayah Persekutuan sebab Wilayah Persekutuan juga Pakatan Rakyat menang, 9 Parlimen daripada 10 Parlimen.

"Kalau Umno benar-benar ada maruah, sepatutnya Menteri Wilayah Persekutuan adalah di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat. Tetapi mereka pilih orang yang tidak bertanding, tidak diangkat oleh rakyat.

"Tetapi sambutan kita malam tadi diserang kerana apa kerana Umno sudah tidak ada kekuatan untuk berdepan dengan rakyat. Umno tidak ada kekuatan untuk mendepani isu-isu rakyat. Umno sekadar menggunakan jentera kerajaan, tali SPRM, jabatan peguam negara dan mahkamah untuk menekan rakyat, tetapi percayalah rakyat negeri Selangor akan bangun mempertahankan hak rakyat dalam negeri Selangor. Hari ini mereka perintah esok belum tentu," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pimpinan Pakatan Rakyat mengamalkan nilai-nilai murni dan menjaga amanah yang dipertanggungjawabkan dengan baik. Sementara bagi mereka yang belot akan menerima akibatnya.

"Yang pergi biarlah mereka pergi. Yang penting Pakatan Rakyat khususnya KEADILAN ingin memberikan satu mesej yang cukup jelas kepada rakyat di negeri Selangor. Kita akan bertindak dengan tegas tidak kira dia Ahli Parlimen ataupun Ahli Dewan Negeri, kalau dia tidak memikul amanah rakyat, dia tidak menjaga amanah rakyat, kita akan nyahkan daripada parti KEADILAN.

"Dalam KEADILAN, dalam Pakatan Rakyat, tidak ada tempat bagi mana-mana pemimpin yang bertungkus-lumus dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan tender-tender dan projek-projek. Tidak ada tempat bagi pemimpin yang berlumba-lumba untuk mendapatkan kedudukan dan jawataan, dan di Selangor tidak ada tempat bagi pemimpin yang cuba merebut jawatan-jawatan dalam syarikat-syarikat dan anak-anak syarikat kerajaan negeri. Ini adalah hak rakyat dan bukan hak Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri untuk menentukan," terang ADUN Gombak ini lagi.

Beliau turut menegaskan pemimpin-pemimpin Umno-BN terdahulu yang bertanggungjawab menyeleweng khazanah di Selangor hendaklah diheret ke muka pengadilan supaya hak rakyat di negeri itu dapat dikembalikan.

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009