AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Thursday, March 11, 2010

GMI lancar kempen 'bukan pinda tapi mansuh ISA'

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menggesa Kerajaan menghentikan cadangan pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi sebaliknya mahu ISA dimansuhkan.

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, GMI membuat gesaan tersebut memandangkan Kerajaan dijangka membentangkan cadangan pindaan itu dalam sesi parlimen akan datang yang akan bermula Isnin ini.

Sehubungan itu, katanya, GMI akan memulakan kempen ”Bukan Pinda Tapi Mansuh ISA!!” dengan mengajak rakyat dan wakil Rakyat turut sama menjayakannya dengan aktiviti, termasuk dialog dengan MP, pelancaran logo kempen, pengedaran risalah dan menganjurkan forum.

GMI dianggotai lebih daripada 80 organisasi terdiri daripada NGO, parti politik, badan hak asasi manusia, pertubuhan wanita, mahasiswa, majlis peguam dan kesatuan sekerja.

"Kempen supaya ISA dimansuhkan sudah berjalan sejak 20 tahun lalu dan telah berjaya mencipta gelombang kesedaran dan perubahan, hasil kempen GMI dan anggota gabungannya.

"Ianya mendapat dokongan rakyat walaupun pelbagai halangan, ugutan dan ancaman yang dilontarkan terutamanya menggunakan ISA sebagai alat menggerunkan," kata Syed Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, isyarat jelas perubahan ialah keputusan pilihanraya umum 2008 dan kejayaan Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009.

"Pada masa yang sama, lebih ramai di kalangan bekas tahanan ISA yang telah berani menampilkan diri mendedahkan tentang kezaliman ISA.

"Rakyat memahami kemungkaran dan kezaliman yang berlaku bertopengkan ISA dan percaya bahawa perubahan tidak boleh berlaku hanya dengan meminda ISA tetapi memansuhkannya," tegas Syed Ibrahim lagi.

Pada 28 Januari 2010, katanya, wakil GMI dan badan NGO yang lain, telah menghadiri sesi pertemuan awam berkaitan kajian pindaan ISA yang diatur oleh Kementerian Dalam Negeri.

"Walaupun dipanggil agak lewat dan GMI antara badan yang terlibat langsung dengan isu ISA berbanding dengan banyak lagi badan-badan yang lain, namun jemputan tersebut telah diraikan.

"Dalam pertemuan berkenaan, pihak Kementerian telah menjelaskan proses kajian yang dilakukan termasuklah menubuhkan Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Teknikal untuk membuat perbandingan dengan (pengalaman) negara lain dan meneliti undang-undang," katanya.

Menurut Syed Ibrahim, mereka turut memaklumkan lima elemen yang akan diambilkira dalam pindaan iaitu - (1) kuasa-kuasa menteri, (2) tempoh penahanan, (3) hak dan layanan kepada tahanan, (4) penahanan tanpa bicara dan (5) persepsi umum mengenai pelaksanaan akta itu.

Sebagai respons kepada penjelasan berkenaan, katanya, GMI berpendapat adalah lebih baik ISA dimansuhkan daripada dipinda kerana beberapa sebab:

Pertama, menurut Syed Ibrahim, penahanan tanpa bicara dalam apa juga bentuk melanggar prinsip keadilan dan hak perbicaraan. Dua prinsip besar yang diiktiraf oleh mana-mana perlembagaan dan instrumen hak asasi manusia mahupun kepercayaan agama.

"Bentuk pindaan kerajaan tentang elemen ini tidak dijelaskan tetapi sekiranya Lembaga Penasihat dianggap sebagai badan perbicaraan, maka ini adalah anggapan yang salah kerana Lembaga Penasihat tidak bersifat bebas dan perbicaraan dijalankan secara tertutup tanpa pendedahan dokumen kepada peguam pembela tahanan.

"Keputusan Lembaga Penasihat pula tertakluk kepada persetujuan badan Eksekutif. Lembaga Penasihat juga bersidang setelah tahanan dilanjutkan penahanan di bawah Seksyen 8 ISA. Tiada ruang perbicaraan terhadap tuduhan ke atas tahanan ketika mereka ditahan untuk 60 hari pertama di bawah Seksyen 73 ISA," katanya.

Kedua, menurut Syed Ibrahim, daripada lima elemen tersebut, adalah diakui bahawa empat daripadanya (1-4) adalah perkara asas tetapi sesebuah undang-undang perlu dilihat secara total sekiranya perkara-perkara asas berikut tidak dilanggar:

a. Prinsip keadilan untuk semua.

b. Hak asasi manusia yang paling asas – hak perbicaraan, hak bersuara, hak pembelaan.

c. Kedaulatan undang-undang di mana Perlembagaan sebagai undang-undang rujukan utama.

d. Sistem semak dan imbangan yang berkesan – pengasingan kuasa.

e. Keselamatan dan kesejahteraan untuk semua.

Ketiga, menurut Syed Ibrahim, undang-undang sedia ada yang tidak melanggar prinsip-prinsip di atas, sudah mencukupi untuk menangani ancaman yang dikatakan sebagai ancaman keselamatan negara.

"Sehingga sekarang tiada perincian telah dikemukakan oleh Kerajaan tentang lima elemen tersebut. Namun hasil pertemuan tersebut, walaupun bersikap terbuka, GMI berpendapat pindaan yang bakal dicadangkan tidak akan memenuhi kriteria asas yang disebutkan dalam perkara (2) di atas.

"Hakikatnya, ISA merupakan alat yang terlalu berkuasa untuk dilepaskan begitu sahaja oleh Kerajaan sekarang. Cadangan pindaan, jika benar-benar serius untuk dilaksanakan, seharusnya telah dibentangkan tahun lalu sebaik sahaja Perdana Menteri memaklumkannya dalam bulan April 2009.

"Perubahan yang ingin dilakukan, jika benar-benar perubahan yang serius dalam masa yang singkat, ialah dengan membebaskan semua tahanan ISA atau bicarakan mereka diikuti dengan kajian untuk ISA dimansuhkan," tegasnya.

Menurut Syed Ibrahim lagi, GMI memperaku tanggungjawab Kerajaan untuk mempertahankan warganegaranya daripada serangan pengganas dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Tetapi, tegasna, kerajaan masih tidak dapat membuktikan dan menyakinkan bahawa mereka yang berkenaan benar-benar terlibat dengan tuduhan yang dibuat.

"GMI menggesa Kerajaan untuk patuh kepada piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti-pengganas dan melakar pelan jangkamasa panjang untuk negara dalam membangun mekanisme untuk menangani keganasan tanpa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan.

Ekoran itu, kata Syed Ibrahim, GMI menggesa kerajaan untuk:

1.Bukan mencadangkan pindaan tetapi pemansuhan ISA dan lain-lain undang-undang tanpa bicara seperti Ordinan Darurat (EO) dan Akta Dadah Merbahaya (DDA);

2.Bebaskan semua tahanan ISA atau bicarakan mereka;

3.Tutup Kem Tahanan Kamunting;

4.Menandatangani dan meratifikasi International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Convention Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT) serta memulakan proses pengkajian semula undang-undang lain yang berlanggaran dengan prinsip hak asasi manusia termasuk ISA.

Sumber: Malaysoakini

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009