AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, January 12, 2010

Bantah lancar petisyen online, sedia ke jalan raya


KUALA LUMPUR, 12 Jan: Gabungan Mahasiswa Bantah E-undi (Bantah) melancarkan kempen petisyen online serta kutipan 10,000 tandatangan sebagai referendum mendesak agar sistem pengundian secara elektronik atau e-undi dimansuhkan segera dari diguna pada Pilihan Raya Kampus akan datang ini.

Pengerusinya, Mohd Aizat Salleh memaklumkan, petisyen dan kutipan tandatangan tersebut akan diserahkan kepada beberapa pihak berkaitan termasuk badan-badan bukan kerajaan (NGO), badan antarabangsa dan juga Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT).

"Petisyen dan kutipan tandatangan ini seterusnya akan diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Amnesty International Malaysia (AIM), Malaysian For Free and Fair Election (MAFREL) dan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT)," katanya.

Ia bertujuan bagi NGO-NGO terbabit bertindak menyiasat dan mengkaji dakwaan ketidaktelusan sistem tersebut.

Selain itu ujar Aizat, ia juga sebagai aduan mahasiswa terhadap pencabulan hak asasi serta hak kebebasan akademik dan mahasiswa di dalam universiti.

"Bantah berharap NGO seperti Amnesty International Malaysia (AIM) selaku pertubuhan bertaraf antarabangsa yang memperjuangkan hak asasi masyarakat dunia, agar membawa isu ini ke peringkat antarabangsa", katanya lagi.

Petisyen online tersebut boleh dibuat dengan melayari pautan laman http://www.petisyen.com/petition/31/referendum_mansuhkan_penggunaan_sistem_e_undi_di_dalam_pilihan_raya_kampus.html

Behubung KPT pula, beliau memberitahu, referendum kali ini sebagai penerusan kepada bantahan setelah melihat beberapa memorandum yang dihantar sebelum ini tidak diberi respon baik oleh pihak kementerian.

Namun tegasnya, jika usaha kali ini juga gagal, mereka akan menggunakan jalan raya sebagai medan bantahan kali berikutnya.

"Ia adalah tindakan profesional terakhir kita setelah memorandum-memorandum bantahan yang dikemukakan oleh Bantah sebelum ini dibakul-sampahkan oleh KPT.

"Jika usaha ini tidak juga berhasil, dan KPT tetap dengan pendiriannya, maka Bantah akan memobilasi ribuan mahasiswa untuk turun ke jalan raya berdemonstrasi sebagai jalan terakhir," katanya.

Sebelum ini, selain memorandum, Bantah turut menganjurkan forum membincangkan dakwaan kepincangan dalam sistem e-undi.

Beberapa aspek yang dibantah termasuklah dari segi kerahsiaan pengundi, wujud ruang manipulasi, kos yang tinggi, pencerobohan jika berlaku masalah teknikal dan pencabulan hak mahasiswa.

Sumber: Harakah Daily

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009