AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Friday, October 9, 2009

Umno patut halalkan politik wang


KUALA LUMPUR, 9 Okt: Umno sepatutnya menghalalkan secara rasmi amalan politik wang dalam pindaan perlembagaan parti itu pada perhimpunannya dari 13 hingga 16 Oktober ini, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

"Oleh kerana (Tan Sri Mohd) Isa (Abdul Samad) yang dilaporkan 'didapati bersalah terlibat dalam politik wang' boleh menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, saya tidak nampak sebarang sebab mengapa Umno tidak boleh menghalalkan perbuatan itu dalam pindaan perlembagaannya," kata beliau.

Malah, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mengesahkan bahawa apa yang dilakukan oleh Isa itu "bukan kesalahan dari segi undang-undang negara ini".

"Lagi pun, bekas Presiden Umno, (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sendiri menyatakan 'Umno sudah jadi parti perasuah'.

"Dengan perisytiharan Dr Mahathir itu, tidak perlu lagi Umno cuba membuat tayangan ulangan kepada rakyat negara ini kononnya hendak menghapuskan politik wang sebab rakyat sudah menerima dan yakin sepenuhnya kepada perisytiharan bahawa 'Umno sudah jadi parti perasuah'," kata Mahfuz.

Jika Isa bersih dan tidak melakukan kesalahan di sisi undang-undang negara setelah beliau dilaporkan didapati bersalah terlibat dalam politik wang, katanya, Umno juga patut menarik balik hukuman ke atas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dilarang bertanding jawatan timbalan presiden parti itu pada pemilihan 26Mac lalu.

Ali menerima hukuman itu kerana apa yang dilaporkan sebagai kesalahan rasuah dan politik wang yang dilakukan oleh ejennya.

"Jika hukuman terhadap Ali tidak ditarik balik dan pertandingan timbalan presiden Umno tidak diadakan semula sedangkan beliau mendapat pencalonan yang begitu banyak, ia amat tidak adil kepadanya ketika Isa boleh bertanding sebagai calon BN dan diiktiraf pula tidak melakukan kesalahan di sisi undang-undang negara oleh Presiden Umno sendiri," katanya.

Mahfuz juga yakin, jika politik wang dihalalkan dalam Umno, parti itu akan bertambah kukuh dan aman kerana tidak ada lagi ahlinya yang menunjuk perasaan kerana marah terhadap tindakan ke atas mereka yang terlibat dalam politik wang.

30 Januari lalu, sekumpulan ahli Umno mengadakan demonstrasi membantah tindakan Lembaga Disiplin dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam soal membanteras gejala politik wang.

Mereka berdemonstrasi di pekarangan Menara Dato Onn yang menempatkan ibu pejabat Umno dengan membawa sepanduk tertera mesej "Lembaga disiplin sudah nyanyuk", "Jangan ambil hak ahli Umno" dan "Kami menolak SPRM, boleh blah".

Mahfuz juga berharap Umno akan melantik peguam untuk membela ahli-ahlinya yang menghadapi tindakan undang-undang kerana politik wang.

"Oleh kerana Isa sudah boleh menjadi calon BN kerana Najib sendiri yang menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh bekas Naib Presiden Umno itu 'bukan kesalahan dari segi undang-undang negara ini,' adalah tidak adil jika (bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk) Norza Zakaria serta ahli Jawatankuasa Umno Maran, Halimi Kamaruzzaman umpamanya dibiarkan sendiri-sendiri menghadapi tindakan mahkamah.

"Umno sepatutnya menghantar panel peguamnya untuk membela mereka kerana presidennya sendiri mengesahkan perbuatan Isa yang dilaporkan 'didapati bersalah terlibat dalam politik wang' sebenarnya 'bukan kesalahan dari segi undang-undang negara ini'.

"Memang patut sangat Umno menghantar panel peguam membela mereka kerana Isa sendiri menyatakan 'politik wang bukan rasuah'," kata Mahfuz.

13 Mac lalu, Norza dan Halimi didakwa di Mahkamah Majistret Temerloh atas dua tuduhan rasuah bagi memenangi jawatan dalam pemilihan Umno.

Sebelum itu, dalam siasatan ke atas Halimi, beliau mendakwa telah dipukul di bahagian kepala, perut dan bahu bertubi-tubi oleh tiga pegawai SPRM, ditendang di bahagian rusuk dengan lutut, dipaksa telanjang dan berguling-guling di atas lantai dalam keadaan bogel, dicekik sehingga tidak bernafas, ditolak ke dinding, ditendang ketika dipaksa berguling-guling atas lantai, diketuk kepala dengan bakul sampah berkali-kali dan diugut akan diletakkan puntung rokok pada kemaluan.

Malah beliau mendakwa, mereka juga mengugut akan menangkap dan membogelkan isterinya.

"Mereka telah mengugut saya bahawa isteri saya akan ditangkap dan dibogelkan jika saya tidak membuat pengakuan bahawa Datuk Norza Zakarialah yang menyuruh saya untuk memberi duit kepada ahli-ahli Umno yang terbabit," dakwa beliau dalam satu aduan polis.

Sumber: Harakah Daily

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009