Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menegur Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin dan juak-juaknya supaya bermuhasabah, sebelum menuduh orang-lain pengkhianat bangsa. Bercakap di suatu ceramah di Kemaman malam semalam, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat itu meminta ahli Umno supaya melaburkan sedikit kuasa minda melihat siri laporan polis dan rasuah yang difailkan terhadap pimpinan parti perkauman itu. Sejarah membuktikan, tegas Anwar, bahawa yang merampas tanah, yang merasuah, dan yang menyeleweng adalah dari kalangan mereka ini. "Mereka boleh kata dan fitnah saya macam-macam. Saya cuma mahu ingatkan mereka, terutamanya Timbalan Presiden Muhyiddin Yassin, jangan kamu tuduh saya pengkhianat Melayu. Tanah orang Melayu mana saya ambil? Saham mana saya rampas? Projek mana saya raih? Tunjukkan pada saya. Saya mahu tanya pada mereka, apa Muhyiddin tidak ada akaun bank dalam dan luar negara? Saya mahu ingatkan pada beliau, jangan sampai saya isytihar perang nanti kamu terduduk tidak dapat jawab pendedahan-pendedahan saya," kata Anwar. Pada malam itu, Anwar menyorot perhatian hadirin kepada tabiat pemerintah yang bercakap mengenai pembelaan hak melayu, namun dalam masa yang sama menjarah harta negara untuk diri dan kroni. "Negara kita tidak ikut kedaulatan undang-undang. Apabila orang kecil curi motor, curi lembu, dia ditangkap bahkan dipukul. Kalau pemimpin Umno, MCA dan geng-geng mereka ambil wang juta-juta ringgit, polis dan SPRM buat-buat tidak nampak. Satu gunung Umno bagi pada taukey judi, dan hari ini mereka tuduh kita pula yang khianat," kata Anwar. Pemimpin reformasi itu berkata Pakatan Rakyat tidak berminat dengan permainan politik Umno-BN, kerana agenda reformasi dan politik pembaharuan yang dibawa gagasan pembangkang jauh lebih besar manfaatnya untuk rakyat. "Minda kita harus dibuka, jika tidak kita akan ditipu. Hasil minyak misalannya harus diserahkan kepada negeri yang mengeluarkannya dan rakyat negeri terbabit. Petronas telah diuruskan oleh anak-anak Melayu dengan baik sekali, tetapi yang kita pertikaikan adalah kemana duit-duit Petronas ini diambil dan dibelanjakan oleh kerajaan Pusat. Kemana pergi wang yang sepatutnya memperkaya rakyat? Sebaliknya yang kaya hanya dua tiga kerat orang," tegas Anwar. Sumber: Malaysiakini |
Arkib Blog
Tuesday, August 11, 2009
Teguran Anwar Kepada Muhyiddin: Cermin Diri Sebelum Tuding Jari
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment