AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, August 18, 2009

Pengkhianat Melayu, Pemuda BN dijangka tidak takut debat?

KUALA LUMPUR, 18 Ogos:Persoalan siapakah pengkhianat Melayu dijangka terjawab jika Pemuda Barisan Nasional (BN) menyambut cabaran Pemuda Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) untuk berdebat mengenai isu tersebut.

Ketua Pemuda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin mencabar Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin untuk berdebat secara terbuka mengenai perkara tersebut.

"Khairy boleh tetapkan di mana sahaja dan bila untuk berdebat, kami bersedia pada bila-bila masa dan biar rakyat tahu siapa sebenarnya pengkhianat," kata Shamsul Iskandar.

Mengambilkira keberanian ketuanya menerima apa sahaja cabaran debat sebelum ini, adalah dijangkakan Pemuda BN tidak gentar menerima cabaran perdebatan itu kerana mereka mempunyai sebab yang sangat kuat untuk membuktikan siapakah pengkhianat Melayu.

Pemuda KeADILan pula dilaporkan mahu memastikan perdebatan itu berlaku dalam tempoh kempen pilihan raya kecil Permatang Pasir yang menyaksikan calon PAS, Ustaz Mohd Salleh Man dicabar calon BN dari Umno, Rohaizat Othman.

Rohaizat kini berhadapan dengan kemelut pemecatannya dari Majlis Peguam berikutan apa yang didakwa sebagai kesalahan yang dilakukan yang melibatkan wang pemegang amanah Koperasi Pekebun Getah berjumlah RM140,000.

Jika menjadi kenyataan, perdebatan mengenai siapakah pengkhianat Melayu itu dijangka menarik tumpuan umum memandangkan sepanjang 52 tahun Umno menerajui pemerintahan BN, sebanyak 44 peratus Tanah Rezab Melayu telah terlepas dari pegangan orang-orang Melayu.

Dari tiga juta hektar tanah rezab Melayu pada tahun 1957, ia mengecil kepada 1.7 juta hektar sahaja pada tahun 1995.

Antara lain, Utusan Malaysia 24 Ogos 2004 sendiri melaporkan bahawa di Selangor, hampir 9,000 hektar tanah rizab Melayu hilang.

Menurut akhbar itu, biasanya kehilangan tersebut ialah menerusi pengambilan tanah oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960).

Walaupun Perlembagaan Persekutuan mewajibkan setiap ekar tanah beri milik rizab Melayu yang diambil mesti diganti dengan jumlah keluasan yang sama (menerusi pemberian milik baru), namun akhbar itu melaporkan, Selangor pada masa itu hanya mampu menggantikan kira-kira satu pertiga sahaja (34 peratus).

Di Johor pula, menurut akhbar itu, kira-kira 26,000 ekar tanah orang Melayu di sekitar Tanjung Langsat hingga Tanjung Piai juga telah hilang, setelah diambil untuk satu projek bandar baru.

Projek tersebut dikendalikan oleh syarikat milik Kuok Brothers, lapor akhbar itu, secara usaha sama dengan kumpulan UEM.

Dari segi saham Bumiputera pula, di bawah pemerintahan BN yang diterajui Umno, dari 1984 hingga 2005 sahaja, sebesar RM52 bilion saham diperuntukkan kepada para pelabur Bumiputera.

Bagaimanapun, menurut akhbar The Edge 6 Julai lalu, hanya RM2 bilion sahaja yang masih ada di tangan mereka.

Tidak diketahui anak siapa, menantu siapa dan kroni siapa yang menikmati sebahagian yang amat besar saham-saham itu.

Menurut The Edge lagi, berasaskan kapitalisasi pasaran Bursa Malaysia yang berjumlah RM814 billion awal Julai lalu, RM2 bilion saham itu meningkat naik nilainya kepada RM158 bilion.

Dari segi kerusi Melayu di Dewan Rakyat pula, akibat persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003, selepas pilihan raya umum ke 11 pada 21 Mac 2004 lalu, kerusi Melayu tinggal hanya 54.33 peratus sahaja.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab melakukan persempadanan semula berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan ia tidak dilihat bebas dari kuasa Perdana Menteri.

Tidak diketahui mengapa SPR enggan menambahkan kerusi Melayu di kawasan majoriti Melayu yang mengalami pertambahan penduduk.

Dalam ucapannya di Dewan Rakyat pada 24 Jun 2003, Ahli Parlimen Kepong yang juga Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw menyatakan: "Kelantan, Terengganu dan Kedah masing-masing mempunyai pertambahan pemilih 16.2 peratus, 21.76 peratus dan 17.4 peratus.

"Kita tidak lihat kerusi baru di tiga negeri ini".

Jika perdebatan antara Pemuda KeADILan dan Pemuada BN itu menjadi kenyataan, kenyataan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak pada 20 April 1983 kepada para wartawan dijangka akan turut dibangkitkan.

Dalam kenyataan itu, Najib berkata: "Negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan". - mks._

Sumber: Harakah Daily

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009