KUALA LUMPUR, 11 Ogos (Hrkh) - Dakwaan pemimpin Umno kononnya hendak membela nasib orang Melayu sekali lagi akan menyebabkan rakyat merasa ditipu jika tidak dilakukan reformasi akauntabiliti ke atas badan-badan berkaitan, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.
BN kini semakin dilihat hanya memberi tumpuan kepada kelompok tertentu sahaja bagi meraih undi pilihan raya.
Untuk menyokong dakwaan kononnya kerajaan membela nasib orang Melayu, Timbalan Presiden Umno itu mengambil contoh penubuhan Ekuiti Nasional (Ekuinas) yang didakwa bertujuan memastikan bumiputera menguasai lebih banyak ekuiti.
"Ekuinas juga besar kemungkinan akan gagal dan tidak ada jaminan penyelewengan tidak akan berlaku.
"Selagi badan-badan yang kononnya hendak membela nasib Melayu terus diletakkan di bawah penguasaan individu, sama ada Perdana Menteri atau menteri-menteri lain, ia akan mengulangi kegagalan memalukan bangsa yang berulang kali berlaku sebelum ini," kata Salahuddin.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu bimbang Ekuinas akan mengulangi kegagalan dasar kuota bumiputera sebelum ini di mana dari RM52 bilion saham yang diperuntukkan kepada para pelabur Bumiputera dari 1984 hingga 2005, hanya RM2 bilion sahaja yang masih ada di tangan mereka.
"Jika Ekuinas berada di bawah penguasaan Perdana Menteri dan akauntabiliti badan itu hanya kepada Perdana Menteri sahaja, apa jaminan tragedi RM50 bilion saham bumiputera dijual kerana sifat tamak itu tidak berlaku?
"Apa jaminan Ekuinas tidak diperalatkan untuk melambakkan saham ke tangan kelompok tertentu dan selepas itu mereka jual saham-saham tersebut untuk mencipta kekayaan segera?" beliau mempersoalkan.
Rakyat, katanya, tidak tahu siapa yang mengaut keuntungan dari pembahagian kuota bumiputera sebelum ini.
"Anak siapa dapat, menantu siapa, keluarga siapa dan kroni siapa?
"Yang jelas ia berlaku di bawah kerajaan yang dikuasai Umno dan BN," katanya.
Salahuddin menggesa agar badan-badan yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan bumiputera seperti MARA, Tabung Haji, Ekuinas dan sebagainya diletakkan dibawah satu jawatankuasa khas Parlimen.
"Badan-badan tersebut hendaklah bertanggungjawab secara langsung kepada jawatankuasa khas Parlimen yang berkaitan manakala peneraju-peneraju utama badan-badan tersebut pula hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah dicadangkan oleh Perdana Menteri," katanya.
Beliau mengulangi, selagi reformasi akauntabiliti sedemikian tidak dilakukan, rakyat tidak akan mempertaruhkan keyakinan mereka sekali lagi setelah berkali-kali mereka merasa ditipu dan diperdayakan oleh kerajaan Umno dan BN._
Sumber: Harakah Daily
0 comments:
Post a Comment