KUALA KRAI, 1 Julai (Hrkh) - Persaingan di antara PAS dan Umno di Manek Urai kini semakin rancak. Masing-masing melihat peluang mereka cerah bagi memenangi pilihan raya tersebut.
Hanya pilihan raya 1982 sahaja Dun Manek Urai diwakili pemimpin yang bertaraf intelektual dan bukan dari kelompok akar umbi. Dato' Ariffin Said menang di Dun berkenaan, kemudian dilantik Timbalan Menteri Besar.
Sebelum itu Manek Urai diwakili Wan Abdullah Wan Su mewakili PAS yang juga dari kelompok akar umbi.
Begitu juga ketika Mohd Zulkifli Omar yang mewakili BN menang pada 2004 kerana dianggap mewakili kelompok akar umbi.
Beliau mengtasi Ustaz Zamzuri Mat Lazim dari PAS dengan kelebihan 53 undi. Zamzuri mempunyai ijazah dari Universiti Al Azhar.
Apa yang jelas apabila berlaku pertembungan di antara calon dari kelompok akar umbi dan cendikiawan, penduduk Manek Urai lebih berminat memilih pemimpin grassroot.
Dan sekarang Mohd Fauzi Abdullah mewakili pemimpin akar umbi, manakala Tuan Aziz Tuan Mat dari kumpulan cendikiawan.
Penasihat Jentera Operasi PAS Dun Manek Urai, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, berdasar sejarah lampau sehingga sekarang Dun Manek Urai diwakili pemimpin kelompok akar umbi.
Katanya, hanya pada 1982 sahaja Dun Manek Urai dimenangi calon daripada kumpulan cendikiawan yang mempunyai latar belakang pendidikan tinggi.
"Manakala pada pilihan raya lain Dun Manek Urai dikuasai sepenuhnya pemimpin dari peringkat grassroot. Inilah antara faktor yang menyebabkan Allahyarham Paksu Wil menang sehingga lima penggal di Dun tersebut.
"Di Kelantan hanya ada beberapa wakil rakyat sahaja yang mampu bertahan sehingga lima penggal antaranya Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di Chempaka dan Dato' Omar Mohamad di Perupok, Bachok," katanya.
Begitu juga Adun BN di Paloh, Dato' Nozula Mat Diah berjaya mengekalkan kerusi itu sejak 1990 kerana beliau sentiasa berada bersama masyarakat.
Wan Abdul Rahim yang juga anggota parlimen Kota Bharu berkata, keupayaan seseorang wakil rakyat dapat bertahan sehingga lima penggal tidak ramai di negara ini.
Menurutnya sudah tentu ada keistimewaan tersendiri menyebabkan Paksu Wil terus menjadi pilihan penduduk tempatan.
"Allahyarham Paksu Wil adalah role model yang menjadi ikon kepada masyarakat. Dan ciri-ciri itu sekarang ada kepada calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah atau lebih dikenali sebagai Abe Uji.
"Berdasarkan kepada situasi tersebut Abe Uji mempunyai peluang cerah bagi mempertahankan Dun Manek Urai pada pilihan raya kecil 14 Julai ini," katanya. - mj _
0 comments:
Post a Comment