Pilihanraya Kecil N41 Manik Urai merupakan pertembungan dua parti politik terbesar tanah air, PAS vs Umno. PAS melihat bahawa ini adalah pertembungan politik peribadi yang tidak ada kena mengena dengan mana-mana kementerian atau agensi Kerajaan.
PAS tidak menolak sebarang bantuan kepada rakyat termasuk di Manik Urai. Tetapi tindakan memberikan bantuan kepada pelajar di Manik Urai (disini sahaja) pada musim Piliharaya Kecil adalah tidak kena, apatah lagi pemberian itu diumumkan oleh Timbalan Presiden Umno yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin beberapa hari lalu atas alasan sebagai 'tanda ingatan' kementerian berkenaan. Pemberian pertama telah dibuat oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru semalam dan bakinya akan diberi sepanjang tempoh berkempen.
PAS mempersoalkan 'tanda ingatan' itu. Mengapa baru sekarang Umno beri 'tanda ingatan' itu. Bagaimana pula dengan hak pelajar bumiputra dan orang asli di pedalaman negeri Pahang, Perak, Sabah, Sarawak dan pelajar lain yang masih susah di seluruh negara.
Di Manik Urai, semua 6,142 pelajar diberikan bantuan 'khas pilihanraya' tanpa mengira mereka itu anak orang kaya atau tidak, sedangkan pelajar yang benar-benar susah ditempat lain tidak 'diingati' langsung.
PAS menyeru agar PIBG di sekolah-sekolah lain seluruh negara menghantar permohonan kepada Kementerian Pelajaran untuk meminta sumbangan Uniform dan Beg Sekolah bagi pelajar-pelajar mereka sebagai 'tanda ingatan' dan menuntut hak yang sama.
PAS mencabar Menteri Pelajaran untuk menyempurnakan 'tanda ingatan' itu di semua negeri sebelum hari pembuangan undi jika benar mereka ikhlas untuk membantu semua rakyat dan bukannya kerana hendak meraih undi Pilihanraya.
Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat - azm _
0 comments:
Post a Comment