AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Wednesday, July 29, 2009

Beng Hock : Peguam Mohon Tunda Inkues, Tunggu Keputusan Kabinet Tambah Kuasa Suruhanjaya Diraja



Peguam keluarga mendiang Teoh Beng Hock hari ini menggesa koroner dalam inkues kematian mendiang supaya menunda siasatan itu sehingga kabinet memutuskan sama ada untuk memberi kuasa tambahan kepada Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat punca kematian mendiang.

Gobind Singh Deo memberitahu mahkamah bahawa inkues itu tidak perlu dan tidak bermakna jika kabinet memutuskan untuk memperluaskan terma rujukan suruhanjaya itu bagi menjalankan siasatan yang lebih terperinci atas kematian Beng Hock.

Mendiang dijumpai mati 15-16 Julai lalu di perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Selangor di Shah Alam.

Setakat ini kabinet hanya mengarahkan suruhanjaya itu untuk menyiasat sama ada SPRM telah melanggar peruntukan hak asasi dengan menyoal Beng Hock lebih 10 jam sebelum beliau dijumpai mati.

Gobind turut meminta inkues itu, yang bermula hari ini, ditangguhkan sekurang-kurangnya sepuluh hari bagi membolehkan beliau meneliti laporan bedah siasat Beng Hock dan dokumen berkaitan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Azmil Muntapha yang bertindak sebagai koroner inkues belum membuat keputusan bersabit permohonan Gobind.

Bagaimanapun wakil Peguam Negara Tan Hock Chuan berkata inkues berkenaan tidak seharusnya dilengahkan. Beliau bagaimanapun bersetuju jika sedikit penangguhan diberi bagi membolehkan peguam dan ahli keluarga Beng Hock meneliti laporan bedah siasatan dan dokumen berkaitan.

Hock Chuan begaimanapun enggan menyerahkan keterangan saksi kepada peguam keluarga mendiang, dengan mendakwa tidak ada prosedur undang-undang yang memerlukan beliau berbuat demikian.

Gobind memberitahu mahkamah bahawa mengikut Kanun Prosedur Jenayah, semua dokumen berkaitan harus diserahkan kepada peguam bela bagi membolehkan siasatan terperinci dilakukan untuk mengenal pasti punca kematian Beng Hock.

77 orang saksi, termasuk tunang Beng Hock - Soh Cher Wei yang mengandung dua bulan dan dijadualkan berkahwin dengan mendiang pada hari beliau dijumpai mati - diarah memberi keterangan di inkues berkenaan.

Peguam Karpal Singh,anaknya Gobind Singh dan Sankara Nair bertindak sebagai peguam pemerhati kepada keluarga Teoh pada inkues berkenaan.

Anggota keluarga Teoh tiba di perkarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam kira-kira jam 8.20 pagi tadi.

Kira-kira 50 orang wartawan memenuhi dewan mahkamah seawal jam 7.30 pagi untuk mendaftarkan diri bagi membuat liputan.

Pengerusi Majlis Peguam Ragunath Kesavan berkata 12 peguam bertindak sebagai pemerhati badan itu bagi memastikan ketelusan perbicaraan.

Sumber: tvantara.com

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009