AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Tuesday, June 30, 2009

Ucapan Ketua Pembangkang, rang undang-undang Siap

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Hrkh) - Berikut adalah teks penuh ucapan Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh Dato' Seri Anwar Ibrahim berhubung Rang Undang-undang Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasa (Siap):

PENGUATKUASAAN.

Seperti yang kita sedia maklum, penguatkuasaan yang wujud dalam jabatan-jabatan kerajaan memang terdapat banyak kelemahan dan kegiatan yang tidak sihat seperti, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan. Fenomena ini berlaku kerana kurang dan lemahnya pengawasan oleh pihak atasan atau pihak atasan sendiri turut terlibat dalam kegiatan yang tidak bermoral dan bermaruah ini.

SPRM yang bertanggungjawab dalam membanteras rasuah juga lemah dan tidak berkesan kerana terpaksa mengikut telunjuk pemimpin-pemimpin politik atau menteri-menteri yang berpengaruh secara langsung atau tidak langsung agar melaksanakan tugas seperti yang dikehendaki pemerintah Negara.

Penyiasatan dan tangkapan oleh SPRM didapati tidak berkesan dan jarang ada pendakwaan dengan pelbagai alasan seperti kurang bukti atau tiada saksi terutama yang melibatkan pimpinan politik pemerintah. Pendakwaan pula ditentukan oleh Pendakwa Raya dari Jabatan Peguam Negara yang mempunyai agendanya tersendiri.

Di sini jelas menunjukkan bahawa SPRM yang bertanggongjawab membenteras kegiatan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa tidak berkesan dan gagal memenuhi aspirasi rakyat yang mahu melihat kerajaan yang bersih dan telus.

Tanggapan orang ramai SPRM sudah menjadi kuda tunggangan parti politik pemerintah dan pimpinan Negara tidak dapat disangkal lagi melihat kepada tindak-tanduknya akhir-akhir ini yang begitu agresif terhadap pimpinan politik pembangkang tetapi longlai apabila melibatkan pimpinan politik pemerintah. Kadangkalanya ia menjadi bahan ketawa masyarakat umum.

Gaya hidup mewah diluar kemampuan samada menteri-menteri atau pegawai-pegawai kanan kerajaan begitu ketara membuktikan kegiatan rasuah, penyelewengan, dan penyalahgunaan kuasa berleluasa.

Diantara jabatan-jabatan yang banyak terlibat termasuk: 1) PDRM, 2) JABATAN IMMIGRESEN, 3) JABATAN PENGANGKUTAN JALAN 4) JABATAN KASTAM, 5) JABATAN PENDAFTARAN dan juga, 6) Jabatan-jabatan lain seperti yang tersenerai dalam Jadual RANG UNDANG-UNDANG ini.

POLIS DI RAJA MALAYSIA

Kuasa penguatkuasaan Jabatan ini amat jelas dan luas kerana kedudukan pegawai dan anggotanya yang berurusan terus dengan orang ramai yang melakukan kesalahan atau sebaliknya.

Kesalahan trafik yang dilakukan oleh pengguna jalanraya akan memberi rasuah kepada anggota yang bertugas supaya tidak disaman. Mengikut bancian dalaman PDRM, didapati 85% pesalah trafik dan jalanraya akan memberi suapan kepada anggota polis trafik dari membayar saman kepada kerajaan, kerana bayaran rasuah lebih murah, ringkas dan menjimatkan masa.

Bayaran yang biasa diminta oleh anggota trafik adalah antara RM50 ke RM100 tanpa resit bayaran, berbanding saman RM50 ke RM300 dengan resit rasmi. Fenomena ini masih berleluasa diseluruh Negara, hanya tidak ramai yang mahu melaporkan kepada SPRM.

Bagi kenderaan berat kepunyaan syarikat pula, bayaran biasanya dibuat secara bulanan kepada anggota dan pegawai polis trafik diperingkat kontinjen. Untuk mengaburi mata SPRM dan orang ramai, tindakan saman POL 257 terus dikeluarkan juga bagi menunjukkan bahawa POLIS telah bertindak kepada semua pesalah tanpa mengira siapa. Kegiatan ini berlaku sejak bertahun-tahun dan masih berleluasa hingga hari ini. Sebab itu kita lihat ramai anggota dan pegawai kanan PDRM hidup begitu mewah diluar kemampuan mereka.

Kebiasaannya, setiap hujung atau awal bulan, agen-agen dari syarikat-syarikat kenderaan seperti lori, bas penumpang, bas pelancongan, bas sekolah dan kenderaan sapu akan menemui wakil anggota trafik atau pegawainya untuk membuat bayaran bulanan sepertimana yang telah diaturkan, manakala Ketua Polis Daerah (OCPD) mempunyai agennya tersendiri.

PENCEGAHAN JENAYAH KONGSI GELAP.

Pencegahan jenayah biasanya dilakukan dengan rondaan pencegahan jenayah atau operasi tertentu oleh pegawai-pegawai atau anggota polis menerusi maklumat yang diperolehi melalui �informer� atau sumber-sumber lain. Berjaya atau tidak rondaan pencegahan ini bergantung kepada banyak factor seperti ketepatan maklumat yang diterima dan juga kebocoran maklumat kepada penjenayah. Tidak memeranjatkan ramai dikalangan penjenayah ini mempunyai �orang dalam� untuk menyampai maklumat rondaan pencegahan angkara rasuah walaupun perbuatan mereka membahayakan nyawa rakan sepasukan mereka sendiri.

Di bawah Akta Darurat, Pegawai Polis boleh menahan dan menangkap sesiapa yang disyaki terlibat dalam jenayah untuk tempoh 59 hari dan selepas itu mesti mendapat persetujuan Menteri Dalam Negeri untuk dibuang daerah atau melanjutkan penahanan mereka. Dalam hal ini ada dikalangan Pegawai Kanan Polis yang mengambil kesempatan membuat keuntungan dengan meminta bayaran antara RM100,000 hingga RM150,000 untuk membebaskan pesalah atas alasan kononnya mengelak dibuang daerah atau didakwa. Kegiatan ini kerap berlaku diperingkat Kontinjen dibawah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Menteri atau Timbalan Menteri Dalam Negeri pula tidak ketinggalan mengambil kesempatan ini selepas tindakan PO (Police Order) iaitu hari yang ke 59 samaada penahanan dilanjutkan atau tidak akan ditentukan oleh Menteri Dalam Negeri.

Dalam satu kes terkenal yang melibatkan penjenayah yang bahaya dan paling dikehendaki Negara dibebaskan atas alasan kononnya pihak polis tidak mengemukakan laporan lengkap sedangkan heboh diperkatakan termasuk oleh mantan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir) bahawa sogokan melibatkan berjuta ringgit telah dibayar kepada pihak atasan polis dan agen atau wakil bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri yang masih dalam Jemaah Kabinet sekarang ini.

KEGIATAN JUDI HARAM

Bagi kegiatan judi ekor haram pula, bayaran bulanan biasanya dibuat kepada pegawai penguatkuasa polis Bahagian D7 iaitu Bahagian Penguatkuasa Judi dan Maksiat diperingkat Daerah, Kontinjen dan Bukit Aman.

Bukan menjadi rahsia lagi di setiap Daerah ada antara 1 hingga 4 towkey atau pengusaha judi haram yang membayar antara RM50,000 hingga RM70,000 sebulan kepada pegawai penguatkuasa polis Bahagian D7. Diperingkat kontinjen pula bayaran tidak kurang daripada RM100,000 - RM200,000 dan di Bukit Aman tidak kurang daripada RM250,000 - RM350,000 sebulan. Ada di setengah tempat pegawai polis sendiri yang menjadi rakan kongsi kegiatan ini!!!

Boleh dikatakan peluang anggota dan pegawai-pegawai kanan Polis mendapat wang secara haram amat luas kerana kegiatan ini sudah sebati dan menjadi budaya dalam PDRM. Anggota dan pegawai Polis sentiasa didampingi oleh anggota sindiket judi haram samada diperingkat Daerah atau Kontinjen dan juga Bukit Aman. Pegawai-Pegawai kanan yang kelihatan agak tegas pada peringkat awalnya akan menjadi longlai akhirnya setelah ditemui oleh sindiket ini dan terjebak sekali dalam kegiatan tidak bermoral dan tidak bermaruah ini.

SPRM tidak akan dapat merungkai kegiatan mereka yang beroperasi dengan begitu teratur dan tersusun dalam PDRM disemua peringkat. Ini telah berjalan sejak 50 tahun yang lalu. Walaubagaimanapun ada dikalangan bekas-bekas pegawai polis yang sanggup ke hadapan mendedahkan kegiatan-kegiatan haram ini dan menyesali tindakan rakan-rakan mereka dalam PDRM yang merugikan diri mereka sendiri, masyarakat dan negara.

Tidak hairan Pengerusi dan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat judi dilantik dari kalangan bekas pegawai-pegawai tertinggi polis termasuk Ketua Polis Negara, pegawai tertinggi kerajaan, atau anggota keluarga pimpinan tertinggi Negara kerana banyak kegiatan judi haram ini didalangi oleh syarikat-syarikat judi berlesen dan perlu dilindungi.

PDRM MENENTANG PENUBUHAN IPCMC

Usaha membaikpulih perkhidmatan PDRM dan syor penubuhan Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (SBSAP) atau Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC) oleh Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM (SKPPPP) ditentang oleh persatuan-persatuan anggota polis.

Resolusi PPKP/CPW (Persatuan Pegawai Kanan Polis Yang diWartakan) , PPKP/CI (Persatuan Pegawai Kanan Polis � Cawangan Inspektor) dan PPRPD (Persatuan Pegawai Rendah Polis DiRaja) bersetuju sebulat suara menolak penubuhan IPCMC atau lain-lain entiti yang seumpamanya sebagai badan pemantau terhadap PDRM sebaliknya perlu diperkukuhkan mekanisma Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dengan memberi kemampuan untuk bertindak memenuhi keperluan dan kehendak Kerajaan. Selain itu, bagi menentukan keberkesanan perjalanan PDRM memenuhi tuntutan rakyat dan kesiapsiagaan 95,000 ahli menjalankan tugas Persatuan juga mendesak penubuhan sebuah Kementerian Khas untuk PDRM.

Antara luahan yang dipersoalkan dalam satu dialog PDRM bersama Perdana Menteri Malaysia adalah kerana:-

Menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Rakyat menjadi mangsa dan mengakibatkan anarki.

Menghakis pengaruh politik parti yang memerintah.

Mengkompromi kuasa-kuasa kawalan dan perintah KPN.

Penjenayah dan pelanggaran undang-undang menjadi di luar kawalan.

Skop yang luas menyulitkan tugas rutin dalam siasatan termasuk proses pengecaman, contohnya budaya paksa rela untuk kawad cam.

Penubuhannya bermakna badan-badan yang sedia ada seperti SPP, BPR, SUHAKAM, Jabatan Peguam Negara, Biro Pengaduan Awam dan KKDN telah gagal melaksanakan tugas-tugas mereka.

Draf Bill IPCMC ini bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, berlawanan dengan Natural Justice, The Rule of Law mendiskriminasikan anggota Polis dari rakyat biasa dan melanggar hak asasi anggota Polis sebagai manusia biasa.

Melembikkan Polis kerana memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada pegawai dan anggota kerana takut dan tidak berkeyakinan dalam menjalankan tugas.

PDRM UGUT KERAJAAN SEKIRANYA IPCMC DITUBUHKAN


Ugutan juga dibuat oleh PDRM kepada kerajaan dan PM seperti berikut: -
Cadangan penubuhan IPCMC mengakibat tindak balas sentimen semasa ahli-ahli Persatuan Polis seperti berikut:-
Sentimen marah dan sedih dibayangkan melalui SMS dan telefon yang diterima dari setiap peringkat dari seluruh negara.
Kerja mengikut masa.
Menolak elaun RM100 dan menuntut kerja 5 hari seminggu, 8 jam sehari seperti mana lain-lain kakitangan awam.
Melaksanakan core business sahaja menghakis semangat bersedia berkhidmat.
Mengundi pembangkang pada tahun 2008.
Meminta pembangkang memperjuangkan hak Polis di Parlimen.
Menuntut pucuk pimpinan Exco Persatuan meletakkan jawatan kerana gagal memperjuangkan kepentingan ahli.
Menuntut pucuk pimpinan PDRM meletakkan jawatan.
Biar jenayah naik.
Pegawai penyiasat meletak jawatan beramai-ramai.
Kecewa, Polis sahaja dijadikan sasaran walaupun terdapat kelemahan lain-lain agensi Kerajaan.
Kecewa kerana KKDN berdiam diri.
Pendirian Persatuan-persatuan Kakitangan Polis ini bertentangan dengan kehendak mantan Perdana Menteri yang telah menyokong penubuhan ICPMC untuk membersih pasukan polis dari kegiatan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa dan ketara.

Pendirian ini mencerminkan pasukan polis tidak terkawal dan bertanggongjawab lagi kepada sesiapa dalam Negara.

Penentangan ahli-ahli persatuan ini kerana banyak kegiatan dan perkara yang berlaku dalam pasukan polis mahu ditutup dan dilindungi kerana bertentangan dengan undang-undang Negara, sedangkan mereka diamanahkan untuk menguatkuasakannya. Begitulah tanggapan umum yang merasakan perundangan Negara dikhianati oleh mereka yang diamanah untuk menguatkuasakannya.

Kegagalan atau tidak melaksanakan ketetapan SKPPPP ini, seolah-olah tidak menghormati bukan sahaja Suruhanjaya yang ditubuhkan kerajaan, malah tidak menghormati keputusan kerajaan yang menerima laporan tersebut.

KERAJAAN TUNDUK KEPADA UGUTAN PDRM

Ugutan ini berhasil menundukkan kerajaan kerana bimbang kehilangan undi dari anggota PDRM dan keluarga mereka. Kerajaan tidak mempunyai kemahuan politik untuk melaksanakannya. Maka syor SKPPPP agar ditubuhkan IPCMC diganti dengan Rang Undang-undang Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasaan 2009.

RUU SURUHANJAYA INTERGRITI AGENSI PENGUATKUASA (SIAP)

RUU Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) yang dibentangkan ini merupakan sebuah Rang undang-undang yang berlainan daripada yang dinanti-nanti dan dituntut oleh orang ramai hasil Laporan Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM yang menghendaki sebuah Suruhanjaya Bebas Salahlaku dan Aduan Polis (SBSAP) atau Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC) ditubuhkan.

Malah Pengerusi SKPPPP, Tun Mohammed Dziauddin Abdullah dan seorang anggota SKPPPP, Tunku Abdul Aziz meluah rasa kecewa kerana RUU SIAP ini berlainan sama sekali daripada yang dicadangkan dan sekali gus menafikan badan penyelia bebas untuk membuat cadangan bagi pembaikan dalam pasukan polis.

RUU SIAP ini lemah, cacat dan tidak memenuhi kehendak asal untuk menjadikan pasukan polis yang cekap, bertanggongjawab, bersih daripada rasuah, professional dan bertaraf kelas dunia.

RUU SIAP ini gagal untuk menangani keperluan asas mekanisma pertanggongjawaban polis kepada orang awam diatas tindakan mereka atau pengabaian bertindak atas aduan orang awam.

SIAP juga tidak begitu bebas dan kuasa perseimbangannya lemah. Ia tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat pasukan polis. Malah aduan terhadap polis diserah kepada polis untuk membuat siasatan sedangkan dalam laporan Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM menekan mekanisma dalaman yang mengawal perjalanan pasukan polis sekarang ini amat lemah, tidak berkesan dan tidak boleh dipercayai.

RUU SIAP ini tidak memberi keyakinan dan kepercayaan orang awam untuk membuat aduan terhadap polis. Prosidur siasatan menjurus balik kepada polis. Maka apa-apa aduan yang dibuat terhadap polis berkemungkinan tidak mendapat pengadilan sebenar dan bebas daripada berpihak dan ada unsur kolusi.

Saya kecewa dengan tindakan Jabatan Peguam Negara yang jelas memihak usaha mengalahkan tujuan dan cadangan asal yang dibuat oleh SKPPPP.

Kami bimbang RUU SIAP ini hanya merupakan mekanisma dalaman yang disengajakan untuk tidak melaksanakan cadangan SKPPPP untuk menubuh IPCMC.

INDEPENDENT POLICE COPLAINTS AND MISCONDUCT COMMISSION (IPCMC) PERLU DITUBUHKAN

Saya cadangkan RUU IPCMC juga dibentangkan dengan segera dan bukan hanya memadai dengan RUU SIAP bagi memasti pasukan polis yang lebih cekap, berkesan, bersih dari rasuah, professional dan menghormati hak asasi kemanusiaan sepertimana yang dicadangkan oleh SKPPPP.

Selain penubuhan IPCMC, Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM (SKPPPP) membuat banyak lagi cadangan (125 kesemuanya) termasuk memansuh dan mengkaji semula undang-undang yang membenar tahanan tanpa bicara atau keperluan mendapat permit polis untuk berhimpun secara aman masih belum terlaksana.

Suruhanjaya Khas Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM (SKPPPP) ditubuhkan pada 4 Februari 2004 dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohammad Dziauddin Abdullah. Laporan SKPPPP ini telah diserahkan kepada Perdana Menteri pada 29 April 2005 dan diedarkan kepada umum pada 12 Jun 2005

Tiga objektif utama yang diberi tumpuan untuk membaikpulih perkhidmatan PDRM ini iaitu:


Mengurang kadar jenayah
Menghapus amalan rasuah dan
Memelihara hak asasi kemanusiaan.

Dalam laporan SKPPPP 2005 menekankan bahawa mekanisma kawalan dalaman perjalanan polis sedia ada sangat lemah, tidak boleh dipercayai dan tidak berkesan. Maka Suruhanjaya Bebas Salahlaku Dan Aduan Polis (SBSAP atau IPCMC) perlu ditubuhkan untuk mengatasi masaalah ini dan memperkenal mekanisma baru yang boleh dipercayai untuk menangani aduan terhadap polis secara saksama, telus dan adil.

SKPPPP mendapati perkara ini paling genting bagi memulih keyakinan rakyat kepada system kepolisan negara dan memasti anggota polis bertanggongjawab kepada orang awam.

Ia bertujuan menangani aduan dan menambahbaik tahap profesionlisma dalam pasukan polis bagi memasti perlembagaan, undang-undang, peraturan dan tatacara diperhati dan dilaksana oleh polis dalam menjalankan tugas dan tanggongjawab mereka.

Orang awam dan golongan terlibat menyambut baik laporan ini yang memberi harapan baru kepada kebebasan, pertanggongjawaban dan profesionalisma dalam pasukan polis. Mereka menuntut agar disegerakan pelaksanaannya.

Menurut laporan media 18 February 2006, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Mohd Bakri Omar menyatakan PDRM telah melaksanakan 80% daripada syor yang dibuat oleh SKPPPP tersebut.

Tetapi hakikatnya walaupun pelbagai cadangan (125 kesemuanya) telah disyorkan dalam Laporan SKPPPP untuk menjadikan Pasukan Polis bertaraf kelas dunia, banyak yang masih belum terlaksana. Malah kadar jenayah semakin meningkat sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Kekerasaan, penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran hak asasi kemanusiaan masih berleluasa oleh pasukan polis. Antaranya termasuk: -

Menghalang ADUN negeri Perak mengadakan mesyuarat DUN dalam Dewan Persidangan Negeri Perak sehingga terjadi persidangan bawah pokok,

Menceroboh masuk kedalam Dewan Undangan Negeri Perak semasa sidang sedang berjalan,

Mengusir secara kekerasan Speaker DUN Perak dari Dewan Persidangan yang sedang melaksanakan tugas dan tanggongjawab beliau,

Masih berlaku kematian dalam tahanan polis (Kes Kugan dan ramai lagi),

Menembak mati suspek yang sedang dikepong (Kes tembakan 6 suspek di Kulim)

Menyurai perhimpunan aman secara kekerasan (Himpunan KLCC � Membantah kenaikan Harga Petrol dan Perhimpunan Membantah Pelaksanaan PPSMI di Masjid Negara),

Meneruskan tangkapan dibawah ISA tanpa mengikut cadangan yang dibuat oleh SKPPPP (Kes YB Teresa Kok dan wartawan Malaysiakini),

Kehilangan bahan-bahan bukti dalam simpanan polis (kes kecurian syabu bernilai RM1 juta dalam bilik kebal Kontijen Ibu Pejabat Polis Johor Bahru),

Enggan menerima laporan polis oleh mangsa culikkan dan rogol oleh pegawai Balai Polis Larkin dan Tampoi.(Laporan oleh akhbar Sin Chew Jit Pow dimana pasangan muda seorang perempuan berumur 19 tahun bersama �boyfriend� beliau berumur 22 ditahan dan dirogol oleh beberapa orang yang menyamar sebagai polis secara bergilir-gilir. Beliau dihalang membuat laporan polis dan disimpangkan oleh polis ke Balai Polis Larkin, kemudian ke Balai Polis Tampoi dan akhirnya ke balai Polis Johor Bahru untuk membuat laporan),

Membebas penjenayah paling dikehendaki negara dari tahanan yang dikaitkan dengan pembayaran berjuta ringgit kepada orang-orang tertentu dalam pasukan polis dan Kementerian Dalam Negeri. (ini dibangkitkan sendiri oleh mantan PM, Tun Dr Mahathir),

Merekacipta bahan bukti untuk mengaitkan seseorang dengan sesuatu jenayah (Kes liwat terhadap saya),

Dalam kes yang melibatkan penyiasatan mata lebam saya, bekas pegawai penyiasat kes ini Datuk Mat Zain Ibrahim telah membuat akuan bersumpah bahawa Ketua Polis Negara dan Ketua Peguam Negara sekarang terlibat dalam merekacipta dan memalsu bukti terhadap saya.

Menutup fail siasatan atau siasatan tidak dibuat secara menyeluruh dan sempurna keatas kes yang melibatkan jenayah besar oleh pemimpin tertinggi negara (kes pembunuhan Altantuya) dan banyak lagi.

Berleluasanya kegiatan ekonomi haram seperti perjudian haram, pelacuran, tempat hiburan haram, penyeludupan, penyeludupan manusia, pinjaman haram (Ah Long dan chettiar), kecurian hasil kerajaan seperti balak, pasir dan sebagainya disebabkan kegiatan ini mendapat perlindungan oleh pihak polis atau penguatkuasa lainnya.

Dianggarkan kegiatan ekonomi haram ini begitu besar dan mencecah lebih daripada 40% daripada transaksi tunai dalam ekonomi formal. Hasil kegiatan ini tidak dicukai dan ramai dikalangan mereka mengaut keuntungan dan kekayaan yang begitu besar. Sebahagian daripada mereka menyertai ekonomi formal dari hasil kegiatan ekonomi haram ini dan ada dikalangan mereka mendapat penghormatan yang begitu tinggi sehingga dianugerah gelaran Datuk, Datuk Seri dan malah Tan Sri.

Terdapat juga laporan-laporan anggota pasukan polis baik bawahan maupun atasan mengumpul kekayaan melebihi keupayaan pendapatan mereka. Ada pengakuan oleh seorang anggota tinggi PDRM mengumpul kekayaan sehingga RM34 juta yang didedahkan oleh pihak polis sendiri. Sehingga kini tindakan masih belum diambil.

Ramai bekas anggota polis baik peringkat bawahan maupun tinggi berkhidmat dengan syarikat-syarikat perjudian, hiburan, dan syarikat-syarikat yang menjalankan kegiatan yang mencurigakan di pelbagai peringkat untuk melindungi kegiatan sebenar mereka dengan mengambil khidmat bekas anggota polis.

Laporan perdagangan manusia yang melibatkan penguatkuasa kerajaan telah dibangkitkan dalam Dewan Senat Amerika Syarikat. In amat memalukan kerajaan kerana penguatkuasa yang diamanahkan melindungi pelarian2 ini mengambil kesempatan memperdgangkan mereka dalam kegiatan maksiat.

Banyak laporan2 rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan pelbagai lagi telah dilaporkan tetapi setakat ini belum ada tindakan susulan diambil. Antaranya hasil sisatan Suruhanjaya Video VK Lingam, rasuah oleh 2 orang ADUN Perak yang melompat parti, laporan penyelewengan terhadap bekas PM, Menteri Kewangan, MAS, Perwaja, Menteri Pelancongan dan banyak lagi.

Kes penggunaan bom C4 keatas Altanuya masih belum terjawab bagaimana bom ini boleh dikeluarkan dari simpanan dan digunakan tanpa mendapat kelulusan dari pihak atasan.

JABATAN IMMIGRESEN

Penguatkuasaan di jabatan ini yang terdedah kepada rasuah dan penyalahgunaan kuasa tertumpu kepada pendatang tanpa izin (PATI), tamat tempoh paspot, keluar masuk negara melalui pintu belakang tanpa paspot, dan sedikit dalam pemalsuan Paspot.

Kegiatan rasuah berlaku melalui sogokan yang agak besar dari tekong-tekong yang terlibat dalam membawa masuk PATI. Sekiranya tekong-tekong ini enggan membayar, mereka akan ditangkap dan didakwa. Tindakan memeras ugut oleh pegawai penguatkuasa Jabatan ini agak berleluasa di seluruh Negara baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Sogokan juga berlaku apabila PATI ditangkap oleh pihak Immigration maka perbincangan akan dibuat untuk menentu kadar bayaran, yang dibuat secara tunai dipintu keluar masuk Negara.

Tekong-tekong PATI ramai terdapat di Kampung Datuk Keramat, Kampong Kayu Ara dan juga di Jalan Chow Kit. Mereka amat mengenali pegawai penguatkuasa Immigration yang kebanyakan mereka mempunyai IC MERAH atau berstatus Pemastautin Tetap. Ini memudahkan lagi kegiatan mereka sebagai orang tengah antara PATI dan pegawai penguatkuasa Immigration baik diperingkat kontinjen maupun Ibu pejabat.

Kebelakangan ini ramai PATI berkeliaran tanpa dokumen yang sah kerana mereka bersedia membayar sogokan kepada pihak Polis atau Immigration apabila diperiksa dalam anggaran antara RM50 hingga RM100 seorang. Kejadian ini kerap berlaku di kawasan-kawasan Kampung Kayu Ara Damansara, Petaling Jaya, Jalan Tunku Abdul Rahman dan tapak-tapak pembinaan.

Kawasan-kawasan perumahan dan ladang di setiap daerah juga dilawati oleh penguatkuasa Immigration atau polis pada hujung minggu. Kesalahan yang biasanya dikesan termasuk tamat tempoh permit, paspot dan tidak mempunyai dokumen yang sah. Mereka biasanya dibebas melalui sogokan kepada penguatkuasa Immigration, Polis atau RELA antara RM50 hingga RM100 seorang. Sekiranya mereka mempunyai majikan, urusan tersebut akan diselesaikan oleh majikan mereka melalui potongan gaji.

Peras ugut sebegini juga berleluasa keatas PATI dari Thailand, Burma, China, Myanmar, India dan Bangladesh. Sekiranya mereka tidak sanggup membayar akan ditangkap dan dihantar pulang. Kebanjiran PATI kedalam negara semakin meningkat kerana pihak penguatkuasa seperti Polis, Immigration dan juga Rela sama-sama terlibat dalam kegiatan peras ugut, rasuah dan juga penyalahgunaan kuasa secara terang-terangan tanpa berselindung dan saling lindung melindungi diantara mereka.

Kegiatan ini mendapat perhatian dunia dan Malaysia dianggap sebagai salah sebuah pusat perdagangan manusia terbesar dunia. Malah Dewan Senat Amerika Syarikat telah membahas isu ini dan mengemukakan laporan terperinci kajian yang dibuat oleh Badan Hak Asasi Kemanusiaan yang amat memalukan Negara.

Dalam laporan tersebut memperincikan kegiatan tidak berperi kemanusiaan seperti memaksa kerja tanpa gaji, tidak disediakan makanan dan tempat tinggal yang sesuai, menagih sex, memaksa wanita PATI melacur dan hasilnya diambil oleh pegawai penguatkuasa dan pelbagai lagi.

Ada diantara mereka yang datang terus ke kongsi-kongsi atau tempat persembunyian dan mengambil kesempatan mengaut keuntungan diatas penyelesaian yang disediakan, menagih sex dan pelbagai lagi. Sehingga kini tidak ada tindakan diambil keatas mereka yang melakukan kegiatan ini.

JABATAN PENGANGKUTAN JALAN (JPJ)

Pegawai penguatkuasa dari JPJ ini lebih ditakuti dari polis trafik kerana tuntutan mereka lebih tinggi. Mereka meronda atau membuat sekatan secara mengejut dalam kumpulan antara tiga hingga tujuh orang dalam satu-satu operasi.

Sogokan yang diminta biasanya antara RM500 hingga RM1000 untuk pesalah bas sekolah, lori dan van-van sekolah. Pergerakkan mereka lebih teratur dan tertib jika dibandingkan dengan penguatkuasa yang lain. Biasanya mereka membuat sekatan di tempat-tempat sunyi, selekoh atau kampong-kampong terpencil yang penghuninya ramai masyarakat Cina.

Tumpuan mereka ialah lori komersial, lori balak, bas komersial atau van-van komersial di musim perayaan dan cuti sekolah. Mereka memperolehi pendapatan tidak kurang dari RM500 hingga RM1000 seorang setiap hari. Mereka lebih agresif kerana mempunyai kuasa mendakwa lebih besar dari polis.

Rondaan mereka pula tidak diawasi oleh pegawai yang lebih kanan atau pegawai kanan turut serta dan sama-sama terlibat dalam kegiatan tidak bermoral ini. Kebanyakan pegawai-pegawai penguatkuasa ini masih muda berumur antara 25-35 tahun. Apa akan terjadi dengan perkhidmatan mereka sekiranya kegiatan ini berlarutan.

Di sebelah kaunter memperbaharui cukai jalan dan tukar hak milik berbeza pula keadaannya. Agen-agen berkeliaran di kaunter-kaunter JPJ membawa berbundel dokumen untuk diperbaharui dengan sogokan sehingga RM200 setiap agen yang berurusan dengan mereka. Keadaan dan suasana ini berleluasa di pejabat-pejabat JPJ seluruh Negara baik diperingkat negeri maupun daerah.

Masaalah menghidupkan cukai jalan, kenderaan yang disenarai hitam dan sebagainya boleh diuruskan melalui agen-agen yang beroperasi dari kedai-kedai kereta terpakai, sekolah memandu atau agen-agen syarikat insuran. Boleh dikatakan apa juga kesalahan boleh diselesaikan asalkan sanggup membayar onkosnya.

JABATAN KASTAM DAN EKSAIS DIRAJA

Penguatkuasa Kastam memperolehi sogokan setiap kali tangkapan atau rampasan dibuat biasanya berjumlah ratusan ribu ringgit. Pesalah yang dilepas akan membuat bayaran yang agak besar dan melibatkan syarikat-syarikat dan sindikit-sindikit besar. Keadaan ini tidak selalu berlaku dan bergantong kepada keadaan masa dan suasana. Tindak tanduk pegawai penguatkuasa kastam amat berhati-hati dan tidak begitu ketara.

Apabila tangkapan atau rampasan dibuat, hanya barangan rampasan ditahan manakala pesalahnya dibebaskan tanpa pendakwaan untuk memudahkan kerja mereka. Ini memudahkan pengisytiharaan barangan rampasan dibuat dan sebahgiannya diambil atau dibahagi dikalangan mereka.

AP KENDERAAN

Kemasukkan kenderaan secara haram masih berlaku di pintu masuk Port Klang yang kebanyakannya terlibat dalam �under declare� harga kenderaan import terpakai. Penguatkuasa kastam sengaja memejam mata menerima borong kemasukkan setelah disogok sehingga RM20,000 sebuah. Kegiatan ini semakin berkurangan tetapi masih brlaku yang melibatkan beberapa kedai kereta terpakai termasuk Naza Motor, NZ Wheel dan Mofas.

Walaupun heboh diperkatakan Bahagian Penguatkuasaan Kastam dan Eksais DiRaja yang berpengkalan di Port Klang terlibat dalam kegiatan ini tetapi setakat ini tidak ada tindakan diambil kononya tidak cukup bukti untuk pendakwaan. Yang menghairankan jabatan ini tidak pernah di periksa secara mengejut oleh SPRM dimana pegawai-pegawai mereka hidup di luar kemampuan pendapatan mereka.

JABATAN PENDAFTARAN

Penguatkuasaan pegawai-pegawai dalam jabatan ini tidaklah begitu ketara kerana jumlah kakitangan yang agak kecil. Penyelewengan yang terlibat hanyalah dalam bentuk laporan kehakiman dan lapuran beranak dan mati. Terdapat lapuran beranak palsu yang menglibatkan pendatang haram dari China, India, Bangladesh, Indonesia, Filipina, Thailand dan sebagainya.

Ibu bapa mereka dipercayai tidak mempunyai dokumen yang sah walaupun telah tinggal lebih daripada 10 tahun di Negara ini. Rasuah yang berlaku di Jabatan ini termasuk lapuran palsu, Mykad palsu tetapi kesalahan tersebut mudah dikesan dan diambil tindakan. - azm_

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009