AMK Kota Raja
Demo mansuh Tol
Demo mansuh Tol
Organisasi Deklarasi Prinsip Dasar Sasaran PRU-13 Keratan Akhbar Video Aktiviti Sertai Kami Hubungi Kami

Arkib Blog

Saturday, May 23, 2009

AMK Selangor Gesa Kerajaan Malaysia dan OIC Bertindak Pantas Menyelamatkan Masjid Al-Aqsa

Kenyataan Akhbar

ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT

Untuk Edaran Segera

AMK Selangor Gesa Kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Negara -Negara Islam Sedunia (OIC) Bertindak Pantas Menyelamatkan Masjid Al-Aqsa.

Angkatan Muda Keadilan Selangor merasakan keprihatinan dan kebimbangan yang tinggi kepada nasib Masjid Al-Aqsa yang kini semakin terancam dan diambang kemusnahan akibat aktiviti bawah tanah oleh Zionist Israel. Berita-berita terbaru yang terpampang di media-media utama negara ini dan antarabangsa memberikan satu gambaran tragis bakal berlaku kepada Masjid Al-Aqsa jika tiada usaha pantas dan bersepadu digerakkan di peringkat nasional dan antarabangsa.

AMK Selangor menggesa agar Kerajaan Malaysia dapat memainkan peranan yang aktif dan berani untuk mengusulkan isu ini di peringkat dunia Islam dan antarabangsa. Kerajaan Malaysia juga disaran menggerakkan usaha bersepadu di peringkat antarabangsa bagi memastikan Zionist Israel tidak meneruskan aktiviti-aktiviti penggalian terowong bawah tanah yang merancang untuk memusnahkan terus Masjid Al-Aqsa tersebut secara semulajadi jika berlaku gegaran gempa bumi atau seumpamanya.

AMK Selangor berharap agar desakan untuk menyelamatkan Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama umat Islam ini mendapat sokongan dan dokongan kuat semua pihak di negara ini daripada semua parti politik, NGO, kerajaan serta seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama. Isu ini diketengahkan kerana ianya adalah satu isu antarabangsa dan kemanusiaan yang melangkau batas sempadan bangsa, agama dan negara. Tindakan biadap Zionist Israel adalah satu ancaman yang berbahaya kepada seluruh umat manusia di dunia ini.

AMK Selangor juga berharap Perdana Menteri Malaysia agar memanjangkan isu keselamatan dan nasib Masjid Al-Aqsa di peringkat antarabangsa semasa kunjungan beliau ke luar negara. Kita juga berharap semasa lawatannya ke China kelak, Perdana Menteri dapat mengemukakan isu ini agar China selaku salah satu kuasa besar dunia baru juga dapat memberikan tekanan kepada pihak Israel agar serius dan serta merta menghentikan apa jua aktiviti yang boleh mengancam dan menjejaskan struktur Masjid Al-Aqsa ini.

AMK Selangor juga berharap semua pertubuhan politik di negara ini juga dapat menjadikan isu ini sebagai satu isu serius antarabangsa yang utama ketika ini. Perbezaan fahaman dan politik yang berlaku di negara ini tidak wajar dijadikan penghalang dan tembok untuk bersama-sama bergerak dalam satu suara rakyat Malaysia untuk menghentikan rancangan jahat pihak Zionist Israel yang memang jelas merancang untuk memusnahkan Masjid Al-Aqsa ini bila-bila masa sahaja ketika umat Islam dan masyarakat dunia difokuskan kepada masalah ekonomi dan kewangan dunia.

AMK Selangor berkeyakinan bahawa semua rakyat Malaysia boleh bersama-sama dalam mendesak kerajaan Malaysia agar aktif dan berperanan besar dalam menggerakkan kesedaran global kepada nasib Masjid Al-Aqsa ini. Dunia pastinya tidak mahu melihat peristiwa tragis kemusnahan Masjid Al-Aqsa angkara konspirasi jahat Zionist Israel ini daripada berlaku. Malahan resolusi PBB tidak akan lagi mempunyai erti dan makna lagi jika perancangan konspirasi Zionist Israel ini mencapai kejayaan.

Akhirnya, AMK Selangor mengajak semua pimpinan parti politik, NGO dan pihak kerajaan menjadikan isu antarabangsa nasib kemusnahan Masjid Al-Aqsa mendapat liputan dan perhatian dunia antarabanga. Sudah tiba masa dan ketikanya sekali lagi di waktu kita berbeza pandangan dan pendapat di negara ini, kita seiringan dan senada satu suara menggerakkan dan menyedarkan dunia mengenai satu lagi kezaliman dan perancangan konspirasi jahat Zionist Israel.



Mohd Ezli Mashut

Ketua Penerangan AMK Selangor

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009