15 orang yang ditangkap polis termasuk seorang Ahli Parlimen dan 7 Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Perak lewat pagi tadi telah di bawa ke Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Ipoh sebentar tadi.
Anyata pemimpin Pakatan Rakyat yang ditahan ialah Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran, ADUN Teja, Chan Lih Kang, ADUN Menglembu, Lim Phek Her, ADUN Jalong, Leong Mee Ming, ADUN Pasir Pinji Thomas Su dan ADUN Simpang Pulai, Chan Ming Kai, ADUN Tronoh V. Sivakumar, ADUN Malim Nawar, Keshvinder Singh serta enam orang awam.
Wakil-wakil rakyat Pakatan Rakyat tersebut difahamkan ditangkap ketika dalam perjalanan ke kereta masing-masing dan sedang bersiap untuk ke Mahkamah Tinggi Ipoh bersama-sama ketua-ketua kampung dan JKKK dipecat memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Barisan Nasional pimpinan Dr Zambry Abd Kadir.
Pagi tadi polis juga menahan lima orang di tapak perasmian puasa sunat dan mogok lapar anjuran Pakatan Rakyat bagi meneruskan desakan supaya Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan.
Keadaan agak tegang di kawasan berhadapan Wisma DAP di Ipoh dengan kira-kira 100 anggota keselamatan berkumpul di situ.
Polis memberi amaran untuk menyuraikan majlis tersebut atas alasan ia tidak mempunyai permit.
Menteri Besar Perak, Nizar Jamaluddin dalam ucapan perasmiannya berkata mahkamah bukanlah tempat terbaik menyelesaikan kemelut politik di Perak sekarang.
Berikut disiarkan ucapan penuh beliau:
Mahkamah adalah bukan penyelesai masalah, dia boleh menafsirkan undang-undang tapi rakyatlah yang terbaik untuk menyelesaikan masalah di Perak.
Saya mengalakkan orang Islam berpuasa kerana hari ini 1 Jamadil Akhir yang disunatkan dalam Islam, diiringkan dengan solat Hajat dan berdoa.Mudah-mudahan dibuka hati kepada mereka yang berkenaan dan diberikan kepada mereka.
Pada masa ini banyak perkara tidak boleh dibuat. Saya mempunyai hubungan yang baik dengan semua orang, namun pagi ini saya dilarang untuk bersalam.
Hari ini macam-macam tidak boleh termasuk main belon.
Di Penanti aman kerana BN tidak bertanding, pagi ini kami dihalang untuk berkumpul dan berucap.
Saya rakamkan ucapan terima kasih kepada rakan media, NGO dan semua pihak dalam membantu program kerajaan Pakatan Rakyat.
Saya mengalu-alukan sesiapa ikut serta berdasarkan kemampuan masing-masing dan budaya serta agama sendiri.
Generasi akan datang akan menyaksikan apa yang dilakukan oleh tuan-tuan.
Saya mohon rakan media melaporkan berita secara baik dan akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang dilakukan. Kita ada sikap terbuka dengan rakan media.
Dengan Kalimah nasrunminallah wafathun qarrib, saya merasmikan Program Puasa Sunat dan Mogok Lapar.
Sumber: tvantara.com
0 comments:
Post a Comment