Arkib Blog

Monday, September 28, 2009

Selcat: Pandangan betul walaupun cara salah

KUALA LUMPUR, 28 Sept: Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali mungkin silap cara beliau memberikan pandangan mengenai Selcat tetapi PAS Selangor bertegas, isi pandangan itu tetap dipertahankan ketepatannya.

Ini kerana, PAS Selangor tidak mahu kerajaan negeri Pakatan Rakyat dilihat bertembung dengan pegawai kerajaan sebagaimana kesilapan yang dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Khir Toyo sebelum ini.

Dalam masa yang sama PAS Selangor menegaskan, mereka akan tetap bersama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat kerana mereka adalah 'rakan terbaik'.

Inilah antara intipati yang dicapai dalam mesyuarat Badan Perhubungan PAS Selangor petang semalam. Ia adalah sambungan dari mesyuarat Dewan Harian PAS Selangor yang diadakan sebelum itu.

Mesyuarat itu telah meluluskan enam resolusi yang berlegar sekitar kritikan terhadap Pesuruhjayanya, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berhubung cara beliau mengkritik tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) dua minggu lalu.

Enam rosulusi itu diluluskan selepas Hasan mempengerusikan mesyuarat khas Badan Perhubungan PAS negeri di Shah Alam petang semalam.

Hasan mendapat kritikan pedas dari rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat dan PAS sendiri selepas mengkritik Selcat secara terbuka.

Ini kerana, beliau sebagai Exco kerajaan negeri sepatutnya mempertahankan kerajaan negeri dan keputusan mereka, namun bertindak mempertikaikannya.

Dalam mesyuarat itu, resolusi yang dicapai ialah memperakui dan menyokong beliau sebagai Pesuruhjaya PAS negeri dan Exco Kerajaan Negeri.

Image"Kedudukan sebagai Pesuruhjaya negeri dibuat oleh presiden parti manakala jawatan Exco dilantik oleh Menteri Besar," kata Hasan.

Menurutnya juga, tiada pihak yang harus mempersoalkan kedua-dua jawatan itu.

Resolusi kedua ialah menerima cadangan beliau untuk untuk memperbaiki prosedur-prosedur Selcat.

PAS Selangor juga bersetuju bahawa jika Selcat menerima pandangan Hasan, ia boleh berfungsi dengan lebih baik.

PAS Selangor juga kata Hasan akan meminta kerajaan negeri agar mengkaji jentera operasi Selcat untuk menerima penghormatan di kalangan rakyat.

Kelima, PAS negeri meluluskan resolusi bahawa beliau akan tetap kekal bersama Pakatan Rakyat Selangor.

Resolusi terakhir yang diluluskan pula berkaitan dengan saranan hubungan baik antara kerajaan negeri dan kakitangan awam.

"Hubungan antara kerajaan negeri dan pegawai-pegawainya mestilah harmoni sepanjang masa bagi menjamin kelancaran jentera kerajaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, Hasan tetap dengan pendirian bahawa kritikannya terhadap tatacara Selcat adalah satu tindakan yang wajar.

"Adakah salah bagi seorang Exco untuk mencadangkan kepada Selcat agar mempertingkatkan kecekapan, keberkesanan imejnya dan penerimaan oleh publik,"katanya lagi.

Pertemuan tersebut merupakan pertemuan kedua dalam tempoh 24 jam selepas PAS Selangor mengadakan mesyuarat Dewan Harian selama tiga jam yang berakhir kira-kira jam 12 tengah malam Sabtu lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dijadual akan mempengerusikan mesyuarat tiga penjuru membabitkan anggota Selcat, Exco dan 9 pegawai kanan kerajaan jam 8.45 malam ini.

Hassan diarah menjelaskan kenyataannya yang mempertikai perjalanan Selcat, manakala kesemua sembilan pegawai daerah termasuk Bakhtiar Husin yang mengadu diaibkan juga dipanggil untuk memberi penjelasan.

Khalid yakin isu ini dapat ditangani sebaik sahaja mendengar penjelasan daripada semua pihak. Beliau berkata adalah penting bagi sesebuah kerajaan bertindak dalam satu pasukan.

Prosiding Selcat yang terkini adalah menyiasat misteri adun-adun UMNO BN menghabiskan kesemua peruntukan tahunan negeri mencecah RM500,000 dalam masa dua bulan sahaja iaitu sebelum Pilihanraya Umum ke-12, 8 Mac 2008.

Perbelanjaan ini diuruskan oleh Pegawai Daerah selepas mendapat permohonan dan kelulusan dari Adun terbabit.

Namun, para Pegawai Daerah yang dipanggil membantu siasatan mendakwa bahawa mereka disiasat tanpa belas dan secara kasar oleh Selcat.

Selcat pula dipercayai menganjurkan pendengaran awam ini sebagai tindakbalas kepada tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat secara luarbiasa perbelanjaan para Adun Pakatan Rakyat di Selangor.

Bagi mereka, SPRM telah menjalankan tindakan politik untuk menekan Adun Pakatan. Padahal, yang patut dipertikaikan adalah perbelanjaan Adun BN sebelum ini yang menghabiskan peruntukan setahun dalam masa dua bulan sahaja menjelang pilihan raya.

Pendengaran awam selcat kali kedua telah diadakan pada 8 hingga 14 September 2009.

Jawatankuasa PAS pusat yang akan mengadakan mesyuarat di Seremban esok dijangka turut mendapatkan penjelasan lanjut daripada Hasan berhubung pendiriannya itu.

Sumber: Harakah Daily

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009