Arkib Blog

Tuesday, September 29, 2009

Khalid: Selcat tidak akan dirombak


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata tiada rombakan prosedur atau keanggotaan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) buat masa ini.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam perbincangan tertutup hampir dua jam antara Menteri Besar, Barisan exco negeri, termasuk Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Teng Chang Khim; para pegawai daerah, yang dipertua pihak berkuasa tempatan, wakil rakyat di Shah Alam malam tadi.

"Kita mendapat kesefahaman bahawa isu ini boleh diselesaikan antara kita dan mengambil langkah-langkah yang perlu diperbetulkan, yang lain untuk terus dikendalikan secara terbuka dan mempunyai akauntabiliti".

Bagaimanapun, Abdul Khalid berkata mesyuarat itu mengambil kira beberapa teguran dan cadangan supaya membolehkan komunikasi teratur antara pihak-pihak yang mengendalikan SELCAT dengan pegawai-pegawai kerajaan, lapor Bernama.

Menteri Besar berkata siasatan SELCAT tetap diadakan secara terbuka seperti yang diamalkan sebelum ini dan para pegawai kerajaan boleh dipanggil untuk memberi keterangan jika perlu.

Tidak ada (rombakan Selcat) sebaliknya ia akan diteruskan seperti yang diputuskan dalam sidang Dewan sebelum ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat tertutup itu di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAS).

Sebelum ini, Dr Hasan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam dilaporkan telah menegur perjalanan siasatan SELCAT yang dikatakan memalu dan mengaibkan pegawai-pegawai kerajaan negeri yang dipanggil memberi keterangan.

Kaedah soal siasat itu digunapakai semasa pendengaran awam mengenai siasatan penggunaan peruntukan bagi setiap anggota dewan undangan negeri Selangor sebelum Pilihan Raya Umum 2008.

Malah, Dr Hasan turut mencadangkan supaya keanggotaan SELCAT dirombak bagi meningkatkan integritinya.

Abdul Khalid berkata, sebarang perubahan terhadap SELCAT perlu dibincangkan dan dibahaskan pada sidang Dewan Negeri, jika perlu.

Beliau berkata sebarang perbincangan mengenai SELCAT tidak perlu dibincangkan dengan pihak luar.

Dr Hasan ketika ditemui berkata beliau menerima keputusan mesyuarat malam ini, tetapi enggan mengulas lanjut.

Sumber: Malaysiakini

0 comments:

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) KOTA RAJA Copyright © 2009